Beliau berkata untuk tujuan itu, kerajaan akan menjalankan kajian secara mendalam bagi memastikan khazanah hutan di negeri ini sentiasa dilindungi dan diurus secara mapan, selain memastikan bahan mentah kayu yang mencukupi untuk keperluan semasa industri berasaskan kayu di negeri ini dan dapat dibekalkan secara berterusan.
“Kajian ini adalah amat penting untuk menjamin kelestarian industri ini dalam menghasilkan produk berasaskan kayu dan sumbangannya dalam meningkatkan produktiviti industri hiliran dalam mengeluarkan produk tambah nilai yang lain.
“Ini secara langsung akan dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah, sekali gus boleh mendatangkan kesan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya menjawab soalan Datuk Limus Jury (UPKO-Kuala Penyu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Mohd Shafie berkata tindakan pengharaman eksport kayu balak itu dilihat akan memperkasakan industri pembalakan di Sabah.
“Mengikut rekod pada dua tahun lepas, kerajaan negeri memperoleh sebanyak RM180 juta hasil royalti pendapatan eksport kayu balak berbanding RM150 juta pada tahun lalu.
“Mengapa berlakunya pengurangan hasil pendapatan yang mencecah RM30 juta? Walhal, aktiviti (eksport kayu balak) ini mampu memberikan pulangan yang lumayan. Kita percaya masalah ini berpunca kerana terdapat ketirisan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri kini sedang menjalankan kajian yang menyeluruh tentang pengeluaran lesen konsesi pembalakan yang dikeluarkan kerajaan sebelum ini, termasuk isu yang berkaitan dengan pembalakan haram dan kesannya terhadap kemusnahan hutan, tanah runtuh, pencemaran, dan banjir kilat.
Katanya berdasarkan hasil kajian ini, kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang sewajarnya berasaskan kepada prinsip keluhuran undang-undang.
Mengenai hala tuju kerajaan negeri berkenaan industri perabot di negeri ini, Mohd Shafie berkata Sabah merupakan negeri yang kaya dengan sumber alam semula jadi termasuk kayu-kayan.
“Tapi malangnya sejak kita mencapai kemerdekaan hasil kayu-kayan ini tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana kita tahu bahawa kita (kerajaan negeri) hanya mengeksport kayu-kayan sejak awal 60-an sehingga hari ini.
“Perkara ini (pengeksportan kayu) tidak dapat mendatangkan manfaat sepenuhnya seperti apa yang negara lain buat…seperti Jepun yang tidak mempunyai sumber kayu-kayan yang banyak namun menjadi pengeluar perabot yang terkenal dan mereka mengimport kayu dari negara lain…hal itu sebenarnya mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mengkaji dengan lebih mendalam mengenai unsur-unsur pemberian lesen pembalakan.
“Kita tidak mahu orang yang tidak sepatutnya iaitu orang yang tidak berpengalaman mendapat lesen pembalakan. Kita tidak mahu ada unsur monopoli…oleh itu kita akan meneliti mengikut tunas undang-undang dan kita tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen yang melanggar undang-undang,” katanya.
— BERNAMA
AE AE HAZ