TAWAU – Hospital Besar Tawau kini mengamalkan konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI) iaitu menyediakan khidmat bimbingan beribadat dan kerohanian kepada pesakit.
Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata Hospital Besar Tawau merupakan hospital pertama di Sabah yang mengamalkan konsep HMI.
“Kesungguhan Pengurusan hospital ini untuk membuka HMI perlu dijadikan contoh oleh Hospital lain di negeri ini,” katanya ketika merasmikan HMI di hospital berkenaan hari ini.
Beliau berkata HMI merupakan satu gagasan pengurusan hospital yang memberi fokus kepada nilai-nilai kecemerlangan dalam perkhidmatan serta kesejahteraan pelanggan melalui penerapan dan penghayatan Islam.
“Konsep HMI akan menjadikan sesebuah hospital itu lebih berdaya saing dan efisyen terutama dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.
“Kami juga amat beruntung kerana seorang pegawai agama yang ditempatkan di sini untuk bukan sahaja memberi panduan, kaunselor dan pembimbing kepada pesakit beragama Islam tetapi juga sebagai sahabat kepada keluarga pesakit,” katanya. – BERNAMA