SEREMBAN – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menganjurkan Istana Terbuka Aidilfitri 2015 di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 1 Syawal ini.
Setiausaha Sulit baginda Mohd Zahirin Adnan berkata majlis tersebut akan berlangsung mulai 10 pagi hingga 12.30 tengah hari.
“Tuanku Muhriz dengan diiringi kerabat diraja serta pemimpin dan pegawai kanan kerajaan negeri akan berangkat untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti pada sebelah pagi.
“Baginda bersama kerabat diraja kemudian dijangka berangkat ke Istana Besar Seri Menanti kira-kira 10 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata seluruh rakyat jelata dijemput hadir pada majlis itu yang turut menyajikan pelbagai juadah.
Katanya majlis itu juga merupakan peluang bagi seluruh rakyat jelata untuk berhari raya bersama baginda. – BERNAMA