PUTRAJAYA – Kejayaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kes pertuduhan berkaitan sindiket penyeludupan migran antarabangsa memberi semangat kepada jabatan itu untuk terus membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan.
Merujuk kepada kejayaan JIM memutuskan satu daripada rantaian jenayah rentas sempadan dalam operasi pada November 2016 yang berakhir dengan beberapa individu menerima hukuman, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata kejayaan tersebut akan diambil sebagai satu tanda aras bagi JIM melaksanakan penguatkuasaan.
“JIM sentiasa memandang serius serta tidak mengambil mudah ke atas mana-mana pihak yang cuba untuk melakukan kesalahan khususnya di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta155) dan Akta ATIPSOM 2007 (Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007) bagi menjaga keselamatan, kedaulatan dan keamanan negara,ā katanya dalam kenyataan hari ini.
Rentetan operasi pada 20 Nov 2016 melibatkan sindiket penyeludupan migran antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai transit melalui jalan laut, JIM menahan 16 warga Indonesia dan sembilan warga Somalia dalam sebuah bot pom-pom semasa cubaan penyeludupan dari kawasan paya bakau berhampiran Bukit Malawati, Kuala Selangor.
Susulan itu, pada 15 Mei tahun ini dua tekong warga Indonesia dihadapkan ke mahkamah dan semalam (28 Sept) seorang warga Indonesia yang merupakan dalang utama bagi aktiviti penyeludupan migran itu turut didakwa di mahkamah.
Dua tekong dan dalang itu yang mengaku bersalah, masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM20,000. – BERNAMA