KUCHING – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas rokok dan bir seludup dianggarkan bernilai RM870,840 dengan cukai dianggarkan RM8.2 juta, dipercayai untuk sambutan Krismas ini.
Pengarah JKDM Sarawak Ahmad Jii berkata rokok itu dianggarkan bernilai RM663,600 dengan cukai kira-kira RM7.6 juta manakala bir pelbagai jenama itu bernilai RM207,240 dengan cukai dianggarkan RM528,503.
“Kesemua barangan tersebut disita di bawah peruntukan Seksyen 114, Akta Kastam 1967 kerana disyaki diimport tanpa lesen import yang sah,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Ahmad berkata kesemua barangan seludup itu ditemukan dalam tiga kontena di Pelabuhan Senari, di sini oleh pasukan Kolaborasi Pengurusan Persempadanan (CBM) Kastam Sarawak yang melakukan pemeriksaan selepas menerima maklumat pada 13 Dis lepas.
“Siasatan awal mendapati kontena berkenaan tiba dari Singapura dan diimport oleh syarikat yang tidak wujud dan barangan tersebut diikrar sebagai barang kemas palsu, pakaian, beg, pensel serta kasut.
“Pada 14 Dis lalu semua kontena berkenaan ditarik ke stor penguatkuasaan Kastam di Demak Laut untuk pemeriksaan sepenuhnya dan didapati kontena pertama mengandungi 1,106 master case rokok putih jenama Rave (merah dan hijau), manakala kontena kedua dan ketiga mengandungi 5,800 karton bir jenama Foster’s, Brok dan Blue Ice,” katanya.
Ahmad berkata setakat ini belum ada tangkapan dibuat.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a), jika disabit kesalahan, bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali dan tidak lebih 20 kali duti kastam terlibat atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda tidak kurang daripada 20 kali dan tidak melebihi 40 kali duti Kastam terlibat atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya. – BERNAMA