MANJUNG – Polis telah menyelesaikan kes seorang lelaki warga emas menembak mati seorang rakannya sebelum bertindak membunuh diri di Sitiawan, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman berkata kesemua saksi dan waris suspek serta mangsa telah tampil memberi keterangan kepada polis semalam.
“ Waris dan saksi hadir ke Ibu Pejabat Daerah Manjung petang semalam untuk dirakamkan percakapan dan berdasarkan keterangan itu kes ini dianggap selesai,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Muhammad Hanif berkata mayat kedua-duanya juga telah dituntut oleh waris masing-masing selepas urusan bedah siasat selesai semalam.
“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan luka tembakan pada paha dan lengan kiri manakala suspek meninggal dunia kerana luka tembakan di kepala,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 10.50 malam itu, Chu Phan Hoo, 62, ditemukan mati dipercayai menembak dirinya sendiri di dalam kereta jenis Toyota Fortuner di tepi bangunan kedai di Simpang Dua, kira-kira enam kilometer dari lokasi dia menembak rakannya, Ling Iu King, 66.
Ling pula disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Seri Manjung.
Polis tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-duanya yang sebelum itu dilihat minum bersama di sebuah restoran, selain suspek dipercayai tidak tahan dengan desakan mangsa agar membayar hutang. – BERNAMA