KUALA LUMPUR – Pembinaan Projek Solar Berskala Besar (LSS) di Kuala Langat, Selangor yang bermula sejak Julai tahun lepas kini lebih 50 peratus siap, menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Naib Presiden (Usaha Niaga Tenaga) TNB Datuk Noor Azman Mufti berkata kerja-kerja tapak untuk ladang solar berkapasiti 50 megawatt (MW) itu yang merangkumi aktiviti utama seperti struktur bagi panel solar, selain penanaman kabel bawah tanah 132kV dan fiber optik sepanjang 10 kilometer sedang rancak berjalan.
“Kerja-kerja pembinaan pencawang 132kV dan pusat kawalan, bagaimanapun juga sedang dilaksanakan, selain pemasangan lebih daripada 238,000 unit panel solar.
“Kami yakin projek ini dapat mencapai sasaran Tarikh Operasi Komersial yang dijadualkan pada 1 Nov nanti,ā katanya dalam kenyataan media hari ini.
Projek LSS pertama dan terbesar di Malaysia itu dibangunkan anak syarikat TNB, TNB Sepang Solar Sdn Bhd di tapak seluas 98 hektar di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor, dengan pelaburan keseluruhan lebih RM300 juta.
Projek tersebut menjadi pemangkin usaha TNB dalam menerajui agenda Tenaga Diperbaharui dan mengoptimumkan penjanaan elektrik melalui teknologi hijau, menurut kenyataan itu. – BERNAMA