ISKANDAR PUTERI – Laman sesawang Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang menyediakan permohonan perumahan secara dalam talian untuk rakyat akan ditambah baik bagi membolehkannya memberikan perkhidmatan lain pada masa datang.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Md Jais Sarday berkata perkhidmatan itu antaranya adalah memudahkan rakyat mengemukakan rayuan mengenai tawaran pembelian rumah.
Katanya melalui proses sedia ada, mana-mana urusan membabitkan surat tawaran rumah dan rayuan perlu dibuat di pejabat Setiausaha Perumahan negeri hingga mengundang kesulitan kepada pengguna.
“Justeru itu, kita akan menambah baik sistem kerana sekarang sudah terdapat 150,000 permohonan direkodkan dalam laman web untuk pembelian RMMJ,” katanya ketika Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri yang ke-13, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Dr Adham Baba (BN-Pasir Raja) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri mempunyai kaedah untuk memudahkan pendaftaran pembelian RMMJ.
Terdahulu, Jais memberitahu sebanyak 16,010 unit RMMJ telah siap dibina hingga Oktober tahun ini, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan untuk tempoh tiga tahun.
Katanya pada tahun hadapan, sebanyak 13,536 unit lagi akan dibina manakala pada 2019 dan 2020, sebanyak 30,993 unit bakal dilaksanakan bagi menjadikan jumlah keseluruhan iaitu 60,000 unit menjelang 2020. – BERNAMA