KLANG – Sebanyak 2,390 laporan mengenai pembakaran terbuka diterima bagi tempoh Januari sehingga semalam dengan sebahagian besar daripada jumlah itu membabitkan kawasan belukar.
Pengarahnya, Zambri Che Din berkata kawasan belukar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 428 kes, diikuti pembakaran sampah iaitu sebanyak 265 kes.
“Kawasan hutan pula mencatatkan 257 kes dan kawasan pertanian mencatatkan 47 kes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bomba Komuniti Shell di sini, hari ini.
Turut hadir, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul.
Zambri berkata bagaimanapun kes kebakaran terbuka di Selangor dalam tempoh tiga bulan tahun ini masih terkawal berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Dalam tempoh sama tahun lepas, bomba menerima sebanyak 4,099 laporan kebakaran terbuka dengan kebakaran belukar turut mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 576 kes.
“Sikap dan kecuaian manusia antara menjadi penyebab berlakunya pembakaran terbuka, yang turut memberi kesan terhadap ekosistem negara,” katanya.
Beliau berkata orang ramai diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999. – BERNAMA