MARANG – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengenal pasti lebih banyak tapak sesuai untuk melabuhkan tukun tiruan di sepanjang perairan negara ini demi meningkatkan populasi ikan dan menghalang pencerobohan pukat tunda di kawasan terbabit.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata setakat ini, terdapat 124 tapak di Semenanjung Malaysia dan jumlah itu akan terus ditambah bagi memastikan matlamatnya tercapai.
“Lokasi di mana tukun tiruan ini dilabuhkan telah menunjukkan impak positif kepada biodiversiti marin. Ia terbukti apabila bilangan dan kepelbagaian spesies ikan semakin bertambah daripada 15 spesies kepada 109 spesies yang mewujudkan satu habitat baharu di sekitar kawasan tersebut.
“Lebih banyak tukun tiruan ini lebih bagus kerana ia akan menjadi halangan kepada pukat tunda yang menceroboh kawasan pantai. Kita tahu bahawa pukat tunda ini, kebanyakan lesen mesti jauh dari pantai (tempat nelayan tradisional menangkap ikan) tetapi mengawalnya adalah satu perkara yang agak mencabar.
“Jadi, kewujudan tukun tiruan ini akan merosakkan pukat-pukat mereka dan menakutkan mereka untuk menceroboh pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan iaitu sebahagian struktur pelantar minyak milik Petronas yang telah dileraikan, di perairan Pulau Kapas di sini hari ini.
Turut hadir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusoff.
Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata kementerian telah membelanjakan lebih RM2 juta untuk melabuhkan tukun tiruan di seluruh perairan negara pada tahun ini dan ia akan terus ditambah mengikut keperluan semasa.
Terdahulu, Ahmad Shabery dan Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) program ‘Rig To Reef’ antara Jabatan Perikanan dan Petronas di Marang Waterfront.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan dan Naib Presiden (Pengurusan Petroleum) Petronas, Muhammad Zamri Jusoh.
Ahmad Shabery berkata MoU itu adalah antara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang sangat strategik dan berkesan kerana memberi banyak manfaat kepada golongan nelayan di seluruh negara.
“Pada masa sama ia menjimatkan kewangan kerajaan melalui tukun tiruan yang dileraikan hasil sebahagian struktur pelantar minyak dan gas milik Petronas yang sudah tidak lagi digunakan.
“Memang pelantar ini tidak digunakan selepas tamat jangka hayatnya, tetapi ke mana kita nak hantar. Kalau dibiarkan di tengah laut takkan nelayan hendak pergi ke tengah laut. Tetapi ia dibawa ke mari, ada kosnya tetapi ianya akan dapat membantu dan menjimatkan tanggungjawab kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Zamri berkata terdapat lebih 350 pelantar minyak dan gas di seluruh perairan Malaysia ketika ini yang mana kebanyakannya masih digunakan dan Petronas menjangka dalam tempoh lima tahun akan datang ia boleh dinyahtauliahkan.
“Melalui MoU ini selama 10 tahun, kita akan bekerjasama dengan Jabatan Perikanan untuk melihat sekiranya ada pelantar minyak yang kita nak nyahtauliahkan untuk dijadikan tukun tiruan,” katanya. – BERNAMA