KUANTAN – Sebuah loji rawatan kumbahan serantau berteknologi tinggi bernilai RM521 juta bakal menggantikan semua 165 loji rawatan kumbahan sedia ada di daerah ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Zullkefle Nordin berkata projek di Kampung Pat Mahat Kempadang di sini itu, dibiayai Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dijangka bakal memanfaatkan lebih 400,000 penduduk.
Katanya projek yang bermula 20 Feb lepas dan dijadualkan siap pada 19 Feb 2022 itu melibatkan laluan sejauh 60 kilometer bagi menyambung semua 165 loji sedia ada, yang ada antaranya sudah berusia lebih 40 tahun serta tidak lagi menepati piawaian alam sekitar.
“Loji rawatan kumbahan serantau ini menggunakan teknologi moden dan hijau, selari dengan negara maju yang dapat membantu meningkatkan kualiti serta mengurangkan pencemaran sungai dan pantai.
“Ia dijangka dapat memberi penjimatan sekitar 50 peratus dalam aspek penyelenggaraan jika dibandingkan dengan kos penyelenggaran semua 165 loji,” katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat dan Penyelarasan Projek Pembinaan Loji Rawatan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan Bandar Kuantan di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Eksekutif Jalur Cahaya Sdn Bhd Sheikh Mazlan Sheikh Hassan dan Pengarah Urusannya Aidil Abdul Aziz. Jalur Cahaya adalah kontraktor dilantik untuk melaksanakan projek itu.
Zullkefle berkata kontraktor terlibat akan mengambil pendekatan terbaik bagi mengurangkan kesesakan jalan raya sepanjang projek, yang melibatkan lima zon iaitu Kempadang/Tanjung Lumpur, sekitar bandar Kuantan, Beserah serta Teluk Chempedak, berjalan.
Beliau berkata selain loji kumbahan serantau Kuantan, Pahang juga menerima dua lagi projek pembentungan menerusi RMK11, iaitu di Indera Mahkota dan Cherating melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM240 juta yang dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.
Sehubungan itu, Zullkefle berharap orang ramai akan mempraktikkan amalan penggunaan sistem pembentungan yang baik seperti tidak membuang barangan tidak sepatutnya seperti lampin pakai buang dan minyak masak ke dalam saluran paip.
“Pembinaan semua projek ini juga diharapkan dapat meningkatkan taraf perkhidmatan pembentungan yang dinikmati penduduk selain meminimakan pencemaran air dan alam sekitar di Kuantan,” katanya. – BERNAMA