ALOR SETAR – Mangsa banjir kilat yang ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Cenderawasih, Pendang tidak berubah 17 orang daripada lima keluarga setakat 9 pagi ini.
Menurut Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Kedah kesemua mangsa dari Kampung Sukamari, Air Puteh itu ditempatkan di pusat pemindahan itu sejak beberapa hari lalu berikutan air belum surut sepenuhnya di kawasan kediaman mereka.
“Masalah sistem perparitan dan sungai yang tersumbat dikenal pasti punca aliran air lemah dan menyukarkan air surut. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT) perlu melihat masalah ini lebih serius kerana sudah beberapa hari mangsa tidak boleh pulang ke rumah mereka, ” kata sekretariat itu dalam kenyataan hari ini.
Hujan berterusan sejak awal bulan ini menyebabkan beberapa daerah di negeri ini dilanda banjir kilat terutama di daerah Kuala Muda, Baling, Pendang dan Bandar Baharu. – BERNAMA