Milo Taja Lebih RM7j Untuk Sukan SEA, Para Asean

PUTRAJAYA – Syarikat minuman malta coklat, Milo menaja lebih RM7 juta untuk Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) selepas menandatangani perjanjian bersama Sekretariat Sukan SEA ke-29 dan Para ASEAN ke-9 (MASOC) hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata jumlah itu terdiri daripada RM700,000 dalam bentuk wang tunai, RM500,000 dalam bentuk produk dan lebih RM6 juta dalam usaha pemasaran temasya sukan dwitahunan itu kepada masyarakat.

Khairy yang juga pengerusi MASOC berkata Milo akan memaparkan logo berkaitan KL 2017 pada van-van minuman yang akan mengunjungi sekolah di seluruh negara serta mengedarkan produk berkaitan temasya itu.

“Milo juga bercadang untuk mengadakan beberapa aktiviti sempena hari sukan sekolah-sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, selain aktiviti-aktiviti berkenaan di taman-taman awam, jabatan kerajaan, hari keluarga korporat dan pusat membeli belah untuk meningkat kesedaran awam mengenai KL 2017 bermula tahun depan,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Khairy menyaksikan majlis menandatangani penajaan di antara Pengurus Eksekutif Perniagaan, Unit Perniagaan Milo, Nestle (Malaysia) Berhad, Philomena Tan dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali, mewakili MASOC.

Dalam pada itu, Khairy turut berharap lebih banyak syarikat swasta akan tampil menaja KL 2017 selepas ini setelah melihat bagaimana sukan menyatukan rakyat ketika Sukan Olimpik baru-baru ini yang menjadi platform menyampaikan produk kepada masyarakat.

“MASOC sentiasa mendekati syarikat swasta, termasuk syarikat antarabangsa…Saya yakin dalam masa terdekat ini kita akan umumkan juga penajaan satu syarikat yang tidak berpangkalan di Malaysia tetapi syarikat antarabangsa yang mungkin menjadi penaja. Buat masa ini kita ada lebih 10 syarikat yang menjanjikan tajaan tunai,” katanya.

Sementara itu, Tan berkata ia merupakan peluang bagi Milo untuk menjayakan temasya sukan berkenaan yang dianjurkan oleh Malaysia, selepas menaja kontinjen kebangsaan sejak 1991.

“Semua orang tahu Milo sentiasa menjadi sebahagian daripada warisan Malaysia, kami sentiasa terlibat dalam pembangunkan sukan di peringkat akar umbi sejak 60 tahun lalu. Sekarang, ada peluang kami bekerja untuk mewujudkan kesedaran bersukan pada masa depan, khususnya buat golongan muda di sekolah kerana kami percaya melalui sukan, mereka boleh belajar mengenai nilai-nilai kehidupan,” katanya.

Lebih 7,000 atlet dijangka mengambil bahagian dalam edisi keenam Sukan SEA yang bakal dianjurkan Malaysia bermula 19-31 Ogos 2017 sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-60 tahun manakala Sukan Para ASEAN pula dijadualkan bermula 17 hingga 23 Sept. – BERNAMA

Leave a Reply