PUTRAJAYA – Sebaik melangkahkan kaki ke dalam Muzium Alam Semula Jadi di Presint 15 di sini, pastinya mata akan terpukau dengan rangka ikan paus Bryde sepanjang 12 meter dan berwarna putih yang diletak di hadapan ruang pameran aras bawah.
Berkunjung ke muzium itu juga memberi sedikit pengalaman seperti dalam filem ‘A Night At Museum’ sebuah karya pengembaraan fantasi-komedi kerana di sini pelbagai spesimen mamalia, burung, reptilia, hidupan laut dan serangga istimewa dipamerkan.
Turut ditempatkan pelbagai jenis tumbuhan herba selain koleksi permata, fosil, batuan serta mineral seperti telur dinosaur dari China yang berusia lebih kurang 65 juta tahun dan satu serpihan batu dari bulan yang diambil semasa ekspedisi terakhir Apollo.
Bezanya, semua ‘penghuni’ Muzium Alam Semula Jadi di sini tidak ‘kembali bernyawa’ pada waktu malam seperti dalam filem lakonan Ben Stiller itu, namun ia tetap mengujakan.
Bagaimanapun, tinjauan Bernama hari ini mendapati muzium yang mula dibuka pada 1 Feb 2010 kurang mendapat sambutan daripada orang ramai.
Semakan di dalam buku daftar pelawat untuk pembelian tiket mendapati tidak sampai 200 orang mengunjungi muzium itu sepanjang empat hari lalu walaupun cuti panjang kerana sambutan Tahun Baharu Cina.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Ibrahim Ismail ketika dihubungi Bernama mengakui muzium itu belum lagi dapat menarik minat orang ramai, namun tetap positif penerimaan rakyat Malaysia terhadap muzium sedemikian akan berubah.
“Kami akan terus berusaha untuk mempromosikan muzium ini kepada orang ramai supaya ia dapat menjadi tarikan pada masa akan datang,” katanya.
Ibrahim bagaimanapun berkata pihaknya tidak meletakkan bilangan pengunjung sebagai penanda aras utama kerana selain berfungsi untuk mempamerkan pelbagai koleksi, muzium itu juga merupakan pusat rujukan dan kajian kepada para penyelidik.
“Ini (rujukan dan kajian) adalah antara fungsi utama muzium yang ramai tak nampak,” katanya.
Ibrahim menggalakkan mana-mana pihak termasuk institusi pengajian tinggi yang mempunyai koleksi sendiri agar dapat bekerjasama dengan pihak muzium supaya barangan berkenaan boleh dipamerkan.
Selain itu, beliau berkata muzium yang terletak di Jalan Diplomatik, Presint 15 itu adalah bangunan sementara dan satu bangunan kekal dirancang dibina di Presint 5 berhampiran bangunan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Muzium Alam Semula Jadi itu dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 5 petang dan tutup pada hari pertama Aidilfitri dan Aidiladha.
Bayaran masuk untuk dewasa adalah RM2, manakala kanak-kanak bawah 12 tahun serta pelajar sekolah percuma. – BERNAMA