BINTULU – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dijadual menghadiri sambutan Hari Malaysia 2016 peringkat kebangsaan di sini petang esok.
Menurut siaran media Jabatan Penerangan Sarawak, mereka dijadual berlepas dengan pesawat dari Kuala Lumpur sebelum tengah hari. Najib dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Assyakirin.
Beliau juga dijangka menghadiri majlis ‘Ramah Mesra’ bersama-sama warga kerja Petronas pada tengah hari di Pusat Sivik Bintulu.
Pada sebelah petang, Najib dan Rosmah akan menyertai Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud; Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan isteri masing-masing pada perhimpunan besar-besaran bagi meraikan sambutan Hari Malaysia 2016 di tapak lapangan terbang lama di sini.
Najib dan Rosmah dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas acara itu. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijadual berlepas dengan pesawat untuk ke sini pada lewat tengah hari bagi menyertai sambutan itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, yang juga akan menghadiri sambutan itu, akan melawat pasar Tamu Bintulu pada sebelah pagi.
Beliau juga akan menyaskikan perlumbaan bot laju di Sungai Kemena, sebahagian daripada aktiviti bersempena sambutan itu, dari dermaga komersial RC.
Menteri Pengangkutan dan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga akan menghadiri sambutan itu. Beliau juga dijadual melawat Pelabuhan Bintulu tengah hari esok. Liow juga akan diiringi, antara lain, Menteri Kemudahan Awam Sarawak, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi. – BERNAMA