KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada pasangan penerjun wanita negara, Pandelela Rinong Pamg dan Cheong Jun Hoong yang meraih pingat perak pada Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2017 di Beijing, semalam.
“Sekali lagi ratu terjun kita Pandelela, Cheong Jun Hoong mengharumkan nama negara, pingat perak di #FINA #DWS2017! Tahniah!,” kata perdana menteri melalui laman Twitternya.
Menurut laman web rasmi www.fina.org, pasangan Malaysia itu meraih perak setelah mengumpul 316.08 mata dalam acara 10m platform seirama pada hari pertama kejohanan berkenaan.
Gandingan Chang Yani-Ren Qia dari China memenangi pingat emas selepas mengumpul 340.26 mata manakala pasangan Korea Utara, Kim Kuk Hyang-Kim Mi Rae meraih gangsa dengan mengutip 313.92 mata.
Pandelela-Jun Hoong merupakan pemenang pingat perak acara 10m platform seirama wanita pada Sukan Olimpik Rio 2016. – BERNAMA