SEREMBAN – Operasi khas membabitkan beberapa agensi kerajaan diadakan bagi menyiasat pencemaran bau air sungai yang didakwa berpunca daripada kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.
Operasi itu membabitkan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Majlis Perbandaran Nilai, Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan serta Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Datuk Abu Ubaidah Redza berkata kerajaan negeri memandang serius laporan yang menyebut Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih ditutup Ahad lepas akibat pencemaran bau air sungai disyaki berpunca daripada kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, jabatan dan agensi terbabit akan membantu mengenal pasti premis yang tidak mematuhi Akta Alam Sekeliling 1974 di bawah perundangan berkaitan, katanya kepada Bernama hari ini.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dalam kenyataannya Ahad lepas menyatakan bahawa LRA itu ditutup pada 7.30 pagi akibat pencemaran bau air sungai disyaki berpunca daripada kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan. – BERNAMA