SEREMBAN – MCA Negeri Sembilan hari ini meminta peniaga di Pasar Besar Seremban yang terjejas kebakaran pada Sabtu lepas tidak bimbang akan dipindahkan ke tempat lain susulan jaminan kerajaan negeri yang mahu pasar tersebut dibaik pulih.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Lim Chin Fui berkata ini berikutan kenyataan positif Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan semalam yang meminta Majlis Perbandaran Seremban (MPS) memohon peruntukan segera daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membaik pulih dan menaik taraf pasar itu.
“Ini bermakna pasar besar itu akan kekal di lokasi sedia ada. Sebelum ini ramai peniaga pasar besar itu bimbang dengan khabar angin yang kononnya menyatakan pasar besar akan dipindahkan ke Bukit Kepayang dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melawat pasar tersebut hari ini.
Turut hadir Ketua Pemuda MCA Senator Datuk Chong Sin Woon.
Mengenai lawatannya hari ini, Lim berkata ia bertujuan mendapatkan maklum balas peniaga terjejas sama ada mereka bersetuju dipindahkan sementara ke kawasan parkir kenderaan.
“MPS akan memasang khemah di kawasan berkenaan dan semua peniaga yang terbabit dikecualikan bayaran sewa sehingga kerja baik pulih pasar itu siap sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Peniaga Pasar besar Seremban Koh Lee Giap berkata persatuannya akan menubuhkan Tabung Bencana Pasar Besar Seremban bagi mengumpul sumbangan untuk membantu peniaga terlibat.
Kebakaran pada 7.30 malam Sabtu lepas itu melibatkan hampir sebahagian daripada 197 kedai termasuk 99 kedai makan.
Pasar berusia 38 tahun itu merupakan ikon bandar Seremban. – BERNAMA