MELAKA – Pelajar tahun enam Sekolah Rendah Agama Ayer Keroh, Ahmad Asraf Azran Azraie teruja hingga sukar melelapkan mata bila mengetahui akan memperdengarkan bacaan Al-Quran di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Ahmad Asraf, 12, memperdengarkan bacaan itu pada Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Tanjung Minyak 2 di Tanjung Minyak di sini hari ini yang disempurnakan Seri Paduka.
“Saya dapat tahu dipilih untuk perdengarkan bacaan Al-Quran kepada Seri Paduka semalam (Rabu) dan terus berlatih,” katanya kepada Bernama.
Anak kedua daripada enam beradik itu berkata dia berasa bangga dan bertuah kerana dipilih dan menyifatkan sebagai pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidup.
Guru Sekolah Rendah Agama JAIM Tanjung Minyak 2, Shahpuzaimi Puteh pada mulanya berasa gementar apabila Sultan Muhammad V berkenan melawat kelasnya, namun perasaan itu hilang dengan kemesraan Seri Paduka kepada beliau dan muridnya.
“Sememangnya saya dan guru-guru di sini semuanya tidak lena tidur kerana ini pertama kali dalam sejarah (Seri Paduka melawat)sekolah ini.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, usaha kami bertukus-lumus mengadakan persiapan dan keperluan majlis ini amat berbaloi,” katanya.
Beliau berharap lawatan Seri Paduka hari ini menjadi pencetus semangat kepada muridnya untuk terus cemerlang dan menjadi generasi yang mampu menyumbang kepada negara suatu hari kelak.
Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam rangka lawatan tiga hari di Melaka hingga Sabtu dan ini merupakan lawatan pertama Seri Paduka sejak menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Dis lepas. – BERNAMA