KUCHING – Polis menahan seorang penjaga parkir di sini semalam kerana disyaki membuat senapang patah untuk dijual secara haram.
Ketua Jabatan Siasatan Negeri, SAC Datuk Dev Kumar berkata bertindak atas maklumat, pasukan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak diketuai ASP Lawrence Anak Rawieng telah membuat serbuan ke sebuah bilik sewa rumah kedai di Jalan Mendu, Kuching kira-kira 4 petang semalam.
Katanya hasil pemeriksaan di dalam bilik tersebut polis menemukan dan merampas lima laras senapang angin buatan sendiri, 19 biji guli serta pelbagai peralatan membuat senapang.
“Seorang lelaki tempatan berumur 60 tahun, yang dipercayai pembuat senapang angin, berada dalam bilik sewa itu semasa serbuan telah ditangkap,” katanya.
Dev berkata lelaki terbabit bekerja sebagai penjaga parkir kereta di Hospital Umum Sarawak dan tinggal seorang diri di dalam bilik sewa itu.
Katanya soal siasat awal mendapati suspek membuat senapang angin untuk dijual kepada pemburu.
Kes disiasat mengikut seksyen Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…