MAJLIS Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun.
Pemilihan akan dibuat melalui pengundian oleh sembilan Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 10.30 pagi ini.
Kekosongan jawatan Ketua Utama Negara itu berikutan peletakan jawatan Sultan Muhammad V menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan pada 6 Januari lepas, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah institusi beraja di negara ini.
Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan di atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu , Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Sistem penggiliran dalam kalaÂngan sembilan Raja-raja Melayu kini memasuki pusingan kedua yang menyaksikan Raja-raja Melayu dari enam negeri telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Tinggal tiga lagi Raja-raja Melayu dari Pahang, Johor dan Perak untuk melengkapkan pusingan kedua sistem penggiliran itu.
Sementara itu, pengamal media tempatan mula berkumpul di hadapan pintu masuk utama Istana Negara, bagi menantikan ketibaan raja-raja Melayu yang dijadual menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja untuk memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini.
Puluhan wartawan dan jurugambar dari pelbagai agensi media sudah berkumpul di sini,sejak 7 pagi lagi.
Mesyuarat khas berkenaan dijadual berlangsung pada 10.30 pagi berikutan pengumuman peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 6 Jan lepas.
Sehingga jam 9 pagi tadi, anggota polis turut dilihat giat membuat persiapan bagi menyambut ketibaan raja-raja dengan mengawal aliran trafik serta menyusun kon keselamatan.
Cuaca baik sejak pagi namun agak panas tidak menghalang pelancong asing untuk melawat Istana Negara yang menjadi satu destinasi pelancongan popular negara. – BERNAMA