Saturday, December 14, 2024

Creating liberating content

Tiada Isu Lulus Peruntukan...

KIMANIS - Pengumuman peruntukan RM50,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan ll dekat...

SPR Jangka 70% Peratusan...

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan pengundi sekitar 70 peratus...

Pengurus Kedai Barang Kemas...

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus kedai barang kemas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di...

Realistikkah Sasaran LHDN?

DARI FB NAJIB RAZAKKUTIPAN cukai langsung LHDN pada tahun 2018 dan 2019 adalah...

Penting Untuk Sukarelawan Berintegriti

KUALA LUMPUR – Sukarelawan sinonim dengan kerja amal serta memberi manfaat kepada masyarakat.

Golongan itu juga seringkali ditafsir sebagai kelompok yang secara sukarela melakukan sesuatu tugas tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

Hakikatnya, sejauh mana tahap suka dan rela seseorang sukarelawan itu menjalankan tugas, seiring tanggapan positif masyarakat kepada mereka?

“Di sinilah pentingnya integriti di kalangan sukarelawan kerana masyarakat sentiasa melihat mereka sebagai individu yang menyebarkan nilai murni terutama dalam menghulurkan bantuan kepada insan yang memerlukan.

“Bagi memastikan integriti itu benar-benar wujud di kalangan sukarelawan, mereka perlu berbalik kepada niat serta cara mereka bekerja, bukan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’,” demikian kata Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) Datuk Zuraidah Atan kepada Bernama.

PATUHI ‘SOP’

Zuraidah ditemui sewaktu menjadi ahli panel Program Bicara Breakfast Talk Integriti bertajuk “Integriti: Sukarelawan – Suka, Rela atau Sebaliknya: Perspektif Integriti” anjuran Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) pada 4 Jan lepas.

Bicara Breakfast Talk Integriti adalah antara inisiatif INTEGRITI bagi meningkatkan pemupukan dan penghayatan budaya integriti di kalangan rakyat Malaysia untuk mencapai sasaran Pelan Integriti Nasional.

Selain Zuraidah, ahli panel lain ialah Pengerusi Yayasan Salam Malaysia (SALAM) Datuk Ahmad A. Talib dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

Menurut Zuraidah, terdapat tiga jenis sukarelawan iaitu sukarelawan berstruktur, sukarelawan tanpa organisasi dan sukarelawan sebagai industri dan pembangunan.

Sukarelawan berstruktur merujuk kepada mereka yang berkhidmat melalui organisasi atau persatuan tertentu sebagai contoh badan bukan kerajaan (NGO), manakala sukarelawan tanpa organisasi pula lazimnya berlangsung dalam institusi masyarakat seperti di masjid dan ketika kenduri kahwin.

Sukarelawan industri dan pembangunan pula merujuk kepada kerja sukarelawan yang bertujuan membina hubungan strategik sama ada di peringkat antarabangsa, nasional atau jabatan kerajaan, swasta dan masyarakat.

“Perkara utama yang perlu dipatuhi sukarelawan di bawah YSS ialah Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan setiap tugas dijalankan dengan penuh etika dan integriti. Ini termasuk aktiviti yang melibatkan kerja amal seperti mengutip dana dan barang tertentu untuk didermakan kepada golongan yang memerlukan tanpa menyalahgunakannya.

“Berpandukan SOP yang ditetapkan, mereka secara automatik tahu apa yang boleh dan apa yang tidak sebagai sukarelawan YSS. Mereka juga diwajibkan untuk mengumpul, merekod data serta menghantar laporan harian mengenai perkembangan terkini sesuatu aktiviti atau projek sebagai bukti mereka melaksanakan tugas yang diamanahkan,” katanya sambil menambah kaedah itu membantu memupuk budaya integriti di kalangan sukarelawan YSS.

BUKAN PENYELAMAT DUNIA

Menurut Zuraidah, pada masa sama, persediaan awal mengenai aktiviti atau kerja amal yang ingin dijalankan penting bagi mengelakkan sebarang gangguan sekaligus memberi impak sebelum, semasa dan selepas aktiviti dijalankan.

“Contohnya, kita nak tolong orang miskin kita mesti kumpul data terlebih dahulu sebab kadang-kadang apa yang kita fikir dan gambarkan berbeza dengan realiti. Ketika banjir, kita perlu tahu kemampuan dan kemahiran kita. Pasca banjir pula sebagai contoh sukarelawan nak bantu bina rumah, namun kita perlu terlebih dahulu mengenalpasti tanah itu milik siapa.

“Begitu juga dengan jumlah derma yang diterima, digunakan dan yang diagihkan. YSS tidak ketinggalan turut menyemak dengan pihak penyumbang sama ada dana yang disalurkan boleh digunakan untuk tujuan membeli makanan sukarelawan atau tidak (semasa melakukan kerja amal). Jika jawapannya tidak, kami tidak akan menggunakannya dan akan mencari inisiatif lain,” tegasnya.

Turut menyentuh mengenai sikap segelintir masyarakat malah sukarelawan yang beranggapan golongan itu sebagai ‘penyelamat dunia’ serta boleh menyalurkan apa sahaja jenis bantuan, beliau berkata sukarelawan realitinya perlu fokus terhadap apa yang dilakukan dan tidak bersikap ‘syok sendiri’.

Berkongsi mengenai sukarelawan YSS, Zuraidah berkata ia adalah 100 peratus hak milik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang aktif dalam menjalankan aktiviti kesukarelawanan membabitkan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang pengajian seperti mahasiswa Universiti Awam, Institut Pengajian Tinggi Swasta, Politeknik, Institut Pendidikan Guru serta Kolej Komuniti.

Menyifatkan YSS sebagai peluang terbaik untuk golongan mahasiswa melatih diri serta mengasah bakat menjadi pemimpin yang disegani, beliau pada masa sama berpendapat kerja sukarelawan perlu dimulakan daripada istilah ‘paksarela’ bagi menjadikan ia lestari dan menjadi budaya dalam masyarakat.

BERSIFAT PERIBADI


Sementara itu, Pengerusi SALAM, Ahmad A. Talib berpandangan integriti dalam bidang kesukarelawanan adalah sesuatu yang bersifat peribadi.

Beliau berkata meskipun sukarelawan berstruktur digembleng oleh organisasi dan NGO tertentu, namun segalanya masih terletak pada hati dan sanubari seseorang individu itu bagaimana untuk berkhidmat dan memikul tugas yang diamanahkan.

“Integriti itu termasuk bekerja dengan jujur dan ikhlas. Sebagai contoh ada bencana tapi berat hati nak pergi namun disebabkan kawan-kawan (sukarelawan) yang lain pergi, dia jadi serba salah, jadi berasa tertekan nak bantu. Sebab tu kadang-kadang kerja yang dibuat jadi sambil lewa, acuh tak acuh.

Bercakap mengenai SALAM, beliau berkata ia ditubuhkan untuk menggalakkan indvidu menjadi sukarelawan, bermula dengan suka-suka kemudian ia jadi sesuatu yang ‘tersusun’ dan perlu ikut SOP.

“Dalam keadaan kita memerlukan golongan ini datang untuk membuat kerja sukarelawan, kita sendiri boleh lihat kualiti kerja dan perkhidmatan yang berbeza, ada yang bekerja tak ikut masa sampai kena paksa untuk berehat dan ada juga yang sebaliknya,” katanya sambil menambah integriti mungkin sedia ada dalam diri seseorang, mungkin perlu dipupuk atau diberi galakan.

ADA AMBIL KESEMPATAN

Beliau turut berkata integriti bukan sekadar melibatkan wang bernilai jutaan ringgit bahkan dalam soal remeh seperti pemberian ‘t-shirt’ untuk sukarelawan ia turut menjadi isu apabila ada segelintir individu yang mengambil kesempatan dan menyalahgunakannya untuk tujuan lain.

“Integriti juga suatu benda ‘ghaib’. Yang jadi sukarelawan dengan organisasi tertentu mungkin kita boleh pastikan (integriti), yang sukar kita nak kenalpasti ialah integriti di kalangan sukarelawan yang bergerak secara individu atau bebas. Kadang-kadang ‘timbul’ kadang-kadang tidak.

“Integriti sepatutnya bermula dari rumah, sekolah, malah ‘tadika’. Ia juga merujuk kepada input yang diperoleh daripada pendidikan, keadaan sekeliling, agama dan mungkin kerohanian tetapi bagi saya itu tidak mencukupi. Perlu ada pemantauan yang juga kawalan kualiti,” katanya sambil menambah integriti sukar diukur kerana setiap individu boleh mendakwa mereka memilikinya, namun tanpa disedari ia juga boleh dikompromi.

Menurut Ahmad, sebagai NGO, SALAM yang ditubuhkan sejak 1997 itu bertujuan menggalakkan semangat kesukarelawanan dan memberi peluang kepada masyarakat untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sebagai organisasi bebas dan bukan berorientasikan keuntungan, aktiviti SALAM dibiayai melalui sumbangan daripada orang ramai dan badan korporat.

“Ada di kalangan penyumbang yang datang dan meluangkan masa bersama SALAM selama beberapa hari untuk melihat sendiri bagaimana wang yang diderma, disalur dan dibelanjakan kepada yang memerlukan. Itu juga antara mekanisma terbaik untuk memastikan amanah yang diberi dijalankan dengan penuh integriti dan telus,” jelasnya.

LIMA ‘T’

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Anis Yusal dalam memberikan pandangannya turut mengulangi pendirian bahawa semua perkara berkait rapat dengan integriti dan tidak terhad kepada isu rasuah semata-mata.

Jelas beliau, ada segelintir individu yang menjadi sukarelawan secara ‘suka-suka’ untuk memperolehi manfaat.

Mengambil contoh, beliau berkata faktor lima ‘T’ yang merujuk kepada t-shirt, topi, tambang (duit), televisyen (TV) dan tular (viral) antara yang menyebabkan orang ramai mahu bergelar sukarelawan, bukan disebabkan niat dan matlamat mereka untuk membantu orang lain.

“Ada orang ‘main-main’ nak bantu orang lain sebab nak kejar lima ‘T’ tadi. Nak dapat t-shirt dan topi percuma, nak dapat duit, nak keluar TV dan yang menjadi trend sekarang sebab nak tukar di media sosial. Secara tak langsung boleh jadi popular sedangkan dia hanya ada di tempat kejadian ketika media atau pemberita ada di situ sahaja.

“Bukan itu sahaja, ada juga yang bersemangat membantu tapi tiada ilmu. Semangat sahaja tidak cukup sebab kita perlu ada ilmu agar tidak menambah bencana kepada orang ramai dan yang paling penting ketelusan dan kejujuran supaya tidak buat kerja separuh jalan. Pendek kata perlu tahu matlamat akhir yang ingin dicapai dalam sesuatu misi itu,” katanya sambil menambah persoalan yang perlu dibangkitkan ialah keberkesanan sukarelawan dalam menyumbang kepada masyarakat. – BERNAMA

*Video sekadar hiasan…

Kategori