SEORANG banduan warga asing dilaporkan hilang selepas dipercayai berjaya meloloskan diri ketika sedang membuat kerja-kerja pembersihan di luar tembok penjara, pagi tadi.
Kehilangan banduan tahanan dari Penjara Kluang, Johor ini disedari pegawai bertugas kira-kira jam 10 pagi.
Ketika kejadian, banduan berkenaan dikatakan sedang membuka khemah yang digunakan penjara berkenaan sempena rumah terbuka Tahun Baru Cina yang berlangsung semalam.
Menurut laporan akhbar Sinar Harian, sumber dari Jabatan Penjara Kluang mengatakan lelaki berkenaan dipercayai menyusup keluar dari kawasan Kompleks Penjara Kluang dan hanya disedari sebaik kerja-kerja pembersihan selesai.
“Banduan terbabit adalah warganegara Indonesia berumur sekitar 33 tahun dengan ketinggian lebih kurang 157 sentimeter dan berkulit gelap,†kata sumber terbabit.
Sehubungan itu pihak berkuasa sedang giat berusaha mengesan dan mencari banduan terbabit di sekitar kawasan Penjara Kluang dan kawasan penempatan berhampiran.
Ketua Polis Daerah Kluang Asistan Komisioner Mohd Roze Shaari mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan pihaknya akan menjalankan operasi pencarian serta sekatan bagi menjejaki banduan tersebut.
“Kepada orang ramai yang mengetahui maklumat atau terserempak dengan banduan memakai pakaian berwarna hijau, boleh terus hubungi pihak kami dengan segera,†katanya. – MYNEWSHUB.CC
Video – Luahan Seorang Banduan
https://www.youtube.com/watch?v=mH5FFzP-ces