Friday, November 29, 2024

Creating liberating content

PKR Berpecah, Tidak Patut...

KUALA LUMPUR - Perpecahan yang didakwa berlaku dalam PKR ketika ini menjadi antara...

RON95 Naik 5 Sen...

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengekalkan paras siling RON95 dan diesel, masing-masing RM2.05 dan...

Peguam Dikehendaki Bantu Siasat...

SEREMBAN - Polis sedang mengesan seorang peguam bagi membantu melengkapkan siasatan bagi kes...

Ketua Jabatan Diminta Kerap...

KANGAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man menyarankan ketua-ketua jabatan di Perlis...

Permainan Tradisional Pupuk Perpaduan Rakyat

KUALA LUMPUR – Masih ingatkah anda dengan permainan lompat getah, batu seremban, teng-teng, tuju tin, bola beracun, congkak, dam aji, datuk harimau dan pelbagai lagi permainan tradisional yang menceriakan hari-hari anda sewaktu kecil dahulu?

Kalau dahulu, pantang menunggu dering loceng di sekolah, murid lelaki menunjuk kehebatan dengan menjentik ceper dan guli atau berpolis sentri, manakala yang perempuan asyik dengan bermain lompat getah atau juga dipanggil ‘zero point’, selain batu seremban.

Itu belum lagi apabila berkumpul di kampung halaman bersama sepupu sepapat, bermain pelbagai permainan rakyat.

Pastinya generasi terdahulu rindu akan kenangan sukan tradisi ini yang sudah lama mereka tinggalkan. Kanak-kanak zaman ini pula tidak mengenali keseronokan permainan tradisional yang cukup menghiburkan.

Apa tidaknya, senario kini amat berbeza, permainan rakyat kini digantikan dengan permainan yang memerlukan pemainnya menatap tablet atau gajet berjam-jam lamanya, yang pastinya tidak punya ‘aura’ untuk mengeratkan hubungan.

TIDAK KIRA BANGSA

“Sayang seribu kali sayang jika permainan tradisional ini terus dilupakan,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan & Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Datuk Mod Zaky Din.

Katanya, keunikan permainan tradisional Malaysia, meskipun secara asasnya lahir dari sesuatu kaum, namun ia kemudiannya diwarnai dan dimainkan bersama, tanpa mengira bangsa, latar belakang dan usia.

Tambahnya, permainan tradisional juga bukan sahaja dimainkan di semenanjung semata-mata, malah di Sabah dan Sarawak, serta di Wilayah Persekutuan Labuan.

Lihat sahaja, permainan lompat getah, batu seremban, galah panjang, konda-kondi dan congkak misalnya, boleh kata semua pernah melalui saat-saat itu, yang mana tanpa disedari, ia sebenarnya memupuk perpaduan dan merapatkan hubungan sejak kecil lagi.

“Kita semua tidak mengira apa jua bangsa membesar dengan bermain permainan yang sama… permainan tradisional bukan setakat permainan. Main, penat dan jemu. Bukan… ia lebih dari itu,” katanya.

Mod Zaky berkata permainan tradisional seharusnya dipelihara bagi memastikan ia tidak terus ditelan zaman, yang mana generasi dahulu seharusnya menerapkan rasa cinta dan keseronokan bermain permainan tradisi kepada anak muda dan kanak-kanak.

IMBAU KENANGAN

Penulis sendiri masih teringat bermain batu seremban bersama teman baik, Chew It Meng dan rakan lain, ketika bersekolah menengah di Johor Bahru.
Mesra dipanggil Meng, 32, pegawai bank yang berbangsa Cina dan berasal dari Sipitang, Sabah itu langsung tidak kekok bermain permainan tradisional berkenaan.

Ini kerana di kampung halamannya di sebuah rumah panjang di Sipitang yang beliau tinggal ketika kecil, permainan tradisional seperti membentuk gelang getah, cop tiang, baling guli dan biji getah dijadikan permainan harian dengan rakan taulan.

“Biji getah siapa tidak pecah dia yang menang… teringat keseronokan bermain permainan lagenda ketika kecil itu… tambah lagi ia dapat mengeratkan hubungan persahabatan dan mengenal karakter rakan-rakan,” kata ibu beranak dua itu.


Bagi Rozelinanna Geling, 32, anak kelahiran Kuching, Sarawak, permainan tradisional kesukaannya ketika kecil dahulu tentunya batu seremban dan tuju selipar.

“Pada hari minggu, ketika berusia dalam 12 tahun saya selalu bermain dengan jiran termasuklah seorang kanak-kanak lelaki berbangsa Cina… dia lagi hebat bermain batu seremban dari saya,” katanya yang kini menetap di Mukah, Sarawak.

Bagi seorang Copywriter, Shalina Shahrizal, 27, beliau merindui zaman kanak-kanak ketika bersekolah jenis kebangsaan Cina di Johor Bahru. Ketika itu Shalina selalu bermain ‘string games’ dan cop tiang bersama rakan-rakan berbangsa Cina.

“Di rumah pula, saya selalu bermain batu seremban dengan sepupu. Sepupu sebelah ayah ada yang berbangsa Iban, ada yang Bidayuh,” katanya.
Mikail Yusof, 46, yang juga pemandu teksi berkongsi waktu remajanya bermain congkak dengan mengorek tanah untuk dibuat lubang, dan menggunakan biji getah sebagai buah congkak.

“Sekarang walaupun tidak selalu, saya masih bermain congkak bersama anak tetapi dengan menggunakan papan congkak dan guli,” katanya.

KARNIVAL PERMAINAN RAKYAT TERBESAR

Dalam pada itu, pada 16 dan 17 Sept, bersempena Hari Malaysia, JKKN bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, DBKL dan Persatuan Solidariti Seni Budaya menganjurkan program Permainan Tradisional Malaysia@Kepong 2017, untuk tahun ketiga, di Taman Metropolitan, Kepong bermula dari pukul 7.00 pagi hingga 10 malam.

Mod Zaky berkata program itu dijalankan bagi memperkenalkan aktiviti dan permainan rakyat Malaysia dalam kalangan masyarakat bandar dan pelancong asing, selain sebagai platform untuk mengeratkan hubungan dan menyemai semangat perpaduan antara masyarakat.

Dalam program itu, pengunjung boleh mencuba sendiri bermain 14 jenis ‘the Legend Games’, iaitu permainan terompah gergasi, susun bata, kaki hantu, kereta sorong, lari dalam guni berkembar, tarik upih pinang, raja dijulang, kelereng (guli), tuju tin, bola beracun, dam aji, congkak, batu seremban dan ceper.

Selain itu, terdapat juga Sarong Run 2017 yang mengangkat semula pemakaian batik sarong dan pelikat Melayu sambil berlari, dan Kids Explore Games yang berkonsepkan pengetahuan dan pembelajaran melalui permainan.

Pengunjung juga boleh menyertai pelbagai pertandingan, antaranya gusti lengan, sepak raga ratus, ‘coconut games’ (boling kelapa), selain pertandingan Kabaddi, Silamban dan Diabolo (yoyo masyarakat Cina).

Pada hari pertama juga, terdapat sembilan permainan tradisional yang akan menyaksikan 10 unit badan berseragam bertanding, iaitu congkak, sepak raga ratus, galah panjang, tarik tali, batu seremban, dam aji, panjat tiang licin, gusti lengan dan menyumpit.

Ia akan disertai seramai 690 peserta dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Sukan Angkatan Tentera, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Penjara, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kalau sebelum ini anggota badan beruniform juga sering bekerjasama dalam program rasmi dan protokol, namun dengan PTM@Kepong mereka dapat bekerjasama dalam suasana santai,” kata Mod Zaky sambil menambah dijangka 10,000 hingga 15,000 orang akan mengunjungi acara itu. – BERNAMA

Kategori