KUALA LUMPUR – Saban tahun, Ponggal, iaitu perayaan yang disambut bagi menzahirkan kesyukuran kepada Tuhan, matahari, bumi dan lembu yang mengeluarkan hasil susu, menjadi antara perayaan yang penting kepada komuniti Tamil di Malaysia.
Ia juga disambut sebagai tanda kesyukuran kerana menikmati hasil tuaian yang melimpah ruah kepada golongan petani.
Presiden Malaysian Hindu Sangam, Datuk R.S Mohan Shan berkata Ponggal diraikan pada setiap 14 atau 15 Jan iaitu pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil yang dikenali sebagai ‘Thai Matham’ bersempena dengan bulan menuai hasil tanaman di India.
Beliau berkata masyarakat Tamil boleh menyediakan nasi Ponggal (Nasi manis) untuk dipersembahkan kepada Dewa Matahari pada waktu pagi atau antara pukul 4 petang hingga 6.30 petang.
“Masyarakat Tamil percaya kedatangan bulan ‘Thai’ akan membawa tuah dan sinar harapan baharu dan saya berharap mereka akan lebih berjimat-cermat pada tahun ini supaya dapat hidup dalam keadaan tenang sepanjang tahun,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata perayaan ini bermula dengan sambutan ‘Bhogi’ pada hari sebelum Ponggal iaitu upacara membakar segala benda lama bersama pemikiran yang tidak baik.
Pada keesokan harinya pula, masyarakat itu akan memasak beras bersama susu dan gula merah di belanga baharu sehingga ia melimpah dan melakukan upacara sembahyang khas kepada Dewa Matahari.
“Hari kedua pula dikenali sebagai ‘Mattu Ponggal’ yang diraikan khas bagi lembu yang dianggap sebagai haiwan suci oleh penganut Hindu dan diikuti dengan ‘Kanni Ponggal’ khusus bagi anak dara dan berdoa dipertemukan jodoh yang baik,” katanya.
Lazimnya, anggota keluarga akan berkumpul di sekeliling belanga pada hari ini untuk melihat susu melimpah dan percaya bahawa limpahan susu berkenaan menandakan kebaikan, kebahagiaan dan kekayaan bagi seluruh keluarga.
Meskipun tidak dapat pulang ke rumah untuk menyambut perayaan tersebut, bagi segelintir mahasiswa India dari Universiti Kebangsaan Malaysia, mereka masih berpuas hati kerana dapat menyambut Ponggal bersama rakan-rakan di kampus.
Saravanan Subramaniam, 21, berkata dek kerana menjalani peperiksaan akhir semester, beliau dan rakan-rakannya terpaksa menyambut Ponggal di kampus.
“Kalau di rumah, ibu bapa yang melakukan segala persiapan, tetapi di kampus kami sendiri yang melakukan semua persediaan tanpa pertolongan sesiapa,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Seorang lagi mahasiswa, Sutha Muniandy, 25, berkata tahun ini merupakan tahun kelima beliau menyambut Ponggal di kampus dan keghairahan untuk menyambutnya tidak pernah berkurangan.
Tinjauan Bernama pula mendapati hampir semua kedai di Little India, Brickfields dan Jalan Tengku Kelana, Klang dihiasi dengan batang tebu di pintu dan ‘Kolam’ yang diperbuat daripada tepung beras di lantai.
Beberapa kedai turut menawarkan pelbagai promosi bersempena perayaan itu sambil memperdengarkan alunan muzik Tamil yang meriuhkan lagi suasana sejak pukul 8 pagi hari ini.
Ramai masyarakat Tamil turut mengambil kesempatan pada awal pagi sebelum pergi bekerja untuk berkunjung ke kuil sempena hari yang mulia itu. – BERNAMA