Proses Pengundian PRK Dun Chempaka Lancar Setakat 10 Pagi

KOTA BHARU – Proses pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat Bebas, berjalan lancar sejak bermula pukul 8 pagi ini.

Calon PAS, Ahmad Fathan [email protected], 42, bersama-sama isterinya Azizah Hanim Mohd Daud mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa pada pukul 8.10 pagi tadi.

Sementara empat calon Bebas iaitu bekas pensyarah, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Fadzillah Hussin, 55, dan ahli perniagaan Aslah Mamat, 64, bukan pemilih berdaftar di DUN berkenaan.

Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata sehingga pukul 10 pagi, sebanyak 19.53 peratus atau 3,983 daripada 20,390 pengundi biasa telah keluar mengundi.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat pengundian di sini, mendapati kebanyakan pengundi yang keluar mengundi pada sebelah pagi terdiri daripada golongan warga emas dan wanita.

Cuaca cerah turut memudahkan pergerakan pengundi di kawasan DUN itu untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing di sembilan pusat pengundian yang dibuka sehingga pukul 5 petang ini.

Sembilan pusat pengundian itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah; SK Sabak; SK Parang Puting; SK Kem; SK Che Deris; SK Seri Chempaka; SMK Badang; SMK Pengkalan Chepa dan Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A’ishah Putri Chempaka.


Selain itu, kerusi roda juga disediakan bagi memudahkan pengundi yang uzur untuk memasuki pusat pengundian.

Suasana di sekitar pusat pengundian juga terkawal dengan kehadiran anggota polis untuk mengawal lalu lintas di kawasan tersebut.

Turut melawat pusat pengundian ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

PRK ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas.

SPR menjangkakan keputusan rasmi PRK tersebut dapat diketahui seawal jam 8 malam.

Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada PRK itu kerana memberi tumpuan kepada kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas. – BERNAMA

Kategori

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Terkini

SPRM Tahan Pengurus Syarikat Kemuka Butiran Palsu Kerja Baiki Jambatan

BATU PAHAT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Batu Pahat menahan seorang pengurus sebuah syarikat...

Syarikat AS Diharap Raih Peluang Pelaburan Dari RCEP

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap perniagaan Amerika Syarikat (AS)...

Kerajaan Disaran Tanggung Kos Beli Pelekat RFID

KUALA LUMPUR: Kerajaan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch 'n Go (TNG) disaran menanggung...

Bank Dunia Lulus Dana Pendidikan Kemboja

PHNOM PENH: Bank Dunia meluluskan pembiayaan baharu untuk membantu Kemboja meningkatkan akses yang adil...

Pulau Burung Diisytihar Kawasan Bencana Tahap Satu Susulan Kebakaran

NIBONG TEBAL: Tapak pelupusan sampah di Pulau Burung yang terbakar sejak lebih seminggu lalu...

DAKN Bakal Payungi Pembangunan Agrikomoditi Negara

PUTRAJAYA: Sektor Agrikomoditi sudah menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia sejak berdekad lalu,...

Agong Perkenan Tubuh RCI Siasat Isu Tabung Haji – Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Kerajaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah...