KUANTAN – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membaik pulih pelbagai kerosakan di flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Pak Mahat di sini.
Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata peruntukan itu meliputi penggantian lif yang rosak dan pengubahan tangki air.
“Peruntukan RM2.2 juta untuk membaiki segala kerosakan di tingkat lima termasuk menggantikan lif supaya menggunakan sistem anti vandalisme (AVS) dan pemantauan menerusi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) seperti yang dilaksanakan di Lembah Klang.
“Manakala RM2.4 juta lagi diluluskan bagi membina tangki air baharu bagi menggantikan tangki air lama seberat 40 tan yang berada di atas bumbung flat yang dikhuatiri boleh membahayakan penduduk, manakala selebihnya adalah untuk kerja-kerja lain,” katanya kepada pemberita.
Beliau melawat flat kos rendah itu yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Datuk Shafik Fauzan Sharif, Pengerusi Jawatan Kuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
PPR Kampung Pak Mahat merupakan flat dua blok setinggi sembilan tingkat merangkumi 832 unit yang menempatkan 2,945 orang daripada 539 keluarga.
Noh menambah lawatan kementeriannya ke seluruh negara termasuk di Pahang merupakan tanda keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) terhadap rakyat.
“Kita memberikan bantuan tanpa memilih sama ada ia kawasan BN atau bukan, seperti di kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjung Lumpur yang dipegang oleh PAS.
“Ahli Parlimen Kuantan juga bukan BN, tetapi kita faham dengan seramai 532,000 penduduk pastinya terdapat pelbagai fahaman politik.
“Demi kepentingan rakyat kita ketepikan fahaman politik dan terus memberi faedah agar mereka dapat menilai sebelum memberikan sokongan,” katanya. – BERNAMA