Saturday, December 14, 2024

Creating liberating content

Mahkamah Gugurkan Kes Cabul...

KANGAR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menggugurkan kes bekas Menteri di...

Deloitte Malaysia Nafi Pejabat...

KUALA LUMPUR - Deloitte Malaysia menyangkal laporan portal berita bahawa firma audit itu...

Elly Mazlein Sahkan Sudah...

JIKA sebelum ini kami sampaikan perkhabaran gembira mengenai pasangan pelakon Almy Nadia dan Fizz...

Dr. M Dakwa Wujud...

PETALING JAYA — Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mendakwa terdapat...

Sisa Pepejal: Denda Mulai Esok Jika Tidak Diasingkan

KUALA LUMPUR – Mulai esok, penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Johor akan didenda jika mereka tidak mengasingkan bahan sisa pepejal.

Langkah pengasingan tersebut yang diperkenalkan sejak 1 Sept tahun lalu akan mengenakan denda kompaun maksimum sehingga RM1,000 kepada mereka yang melanggar Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

Penyewa atau pemilik premis bertanah boleh didenda RM50 bagi kesalahann pertama, RM100 (kesalahan kedua) dan RM500 (kesalahan ketiga) sementara bagi premis bertingkat dendanya ialah masing-masing RM100, RM200 dan RM500.

Di Kuala Lumpur, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan, Hazilah Gumri berkata sepanjang tempoh percubaan sembilan bulan lalu, terdapat perubahan bersar dalam kalangan penduduk warga kota yang telah berusaha untuk memisahkan bahan sisa pepejal mereka.

“Sebagai contoh, masyarakat di Kepong turut menubuhkan pusat pengkomposan sisa pepejal mereka, sebilangan penduduk di Bangsar dan Damansara telah mengasingkan bahan buangan mereka sejak sedekad lalu,” katanya kepada Bernama.

Hazilah berkata inisiatif kitar semula telah berjaya yang dalam tempoh lima tahun, kadar lima peratus kitar semula meningkat kepada 17 peratus.

“Namun terdapat kawasan yang tidak mencapai tahap baik. Kita akan memberi mereka masa kerana penguatkuasaan belum lagi dilaksana,” katanya.

Beliau berkata sejak sembilan bulan lalu, Kuala Lumpur mencatat pungutan bahan kitar semula tertinggi hampir 250,000 kilogram.

Berdasarkan statistik SWCorp, 37,000 tan sampah dihasilkan setiap hari di seluruh negara dengan Kuala Lumpur menghasilkan 2,800 tan bahan buangan domestik dan industri setiap hari dan kerajaan membelanjakan RM2 bilion untuk membersihkan sampah berkenaan.

Kos pembersihan awam dan pengurusan sisa pepejal dijangka mencecah RM325 juta setahun.

Di NEGERI SEMBILAN, sebanyak 51 kenderaan khas yang dilengkapi alat siaraya disediakan bagi melaksanakan kerja-kerja kutipan sisa pepejal bermula esok yang membabitkan 257,436 kediaman.

Pengurus Besar Kumpulan SWM Environment Sdn Bhd (SWM), Adnan Ibrahim berkata pihaknya akan menggandakan lagi aktiviti kesedaran melalui kaedah promosi, pendidikan, ceramah dan sesi keterlibatan bersama pelbagai lapisan dan kelompok masyarakat.

Sejumlah 223,015 kediaman bertanah dan 34,421 kediaman berstrata (bertingkat) di negeri ini terlibat dalam program pengasingan sisa pepejal, katanya.

Beliau juga berkata sebanyak 111 sangkar khas pengasingan sisa di punca disediakan bagi kegunaan penduduk kediaman berstrata yang mempunyai tiga bahagian iaitu barang kitar semula plastik, kertas dan lain-lain seperti tin aluminium, botol kaca, besi, logam, tekstil dan e-waste.

Selain mengadakan 223,015 pelekat khas pengasingan sisa di punca di penutup tong sampah beroda bagi memudahkan penduduk merujuk tatacara dan jadual kutipan sisa pepejal, katanya.


Di MELAKA, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, Zulkifli Tamby Chik berkata sebanyak 839 taman dan 151,908 premis di tiga daerah negeri terlibat dengan penguatkuasaan pengasingan sisa pepejal di punca.

Beliau berkata bermula esok, pihaknya akan mengeluarkan notis peringatan kesalahan kepada pemilik premis yang didapati tidak melaksanakan pengasingan sebelum tindakan kompaun dikenakan.

“Kompaun adalah jalan terakhir bagi memastikan pemilik premis mematuhi pelaksanaan tersebut. Pengeluaran kompaun juga bukan mudah kerana ia memerlukan beberapa prosedur dan bukti sebelum boleh dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya penglibatan penduduk untuk melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca hanya kira-kira 30 peratus walaupun kesedaran terhadap kepentingan pelaksanaan berada pada tahap 90 peratus.

Sebanyak 7,227 notis peringatan mesra telah dikeluarkan kepada pemilik kediaman sejak pelaksanaan 1 Sept tahun lepas, katanya.

Di JOHOR, Sebanyak 44,270 buah rumah serta premis yang telah mendapat surat peringatan kerana didapati gagal mengasingkan sisa di punca bakal diperiksa sekali lagi apabila aktiviti penguatkuasaan bermula.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, Asri Amat berkata seramai 130 orang anggotanya di 10 daerah akan terlibat dalam operasi penguatkuasaan.

“Di Johor Baharu, penguatkuasaan akan bermula sekitar kawasan perumahan di Taman Amira, Perling dan Taman Bukit Indah esok.

“Notis pemberitahuan kesalahan yang membawa kepada kompaun akan dikeluarkan sekiranya anggota kami menjumpai bukti yang kukuh iaitu tong sampah mengandungi lebih lima bahan kitar semula yang tidak diasingkan,” katanya.

Beliau berkata penguatkuasaan pengasingan sisa pepejal di punca dibuat berikutan kadar kitar semula negara yang masih rendah walaupun sudah ada usaha kerajaan dilakukan sejak 1 September tahun lepas.

Mengenai jumlah sisa makanan yang akan dihantar ke tapak pelupusan menjelang bulan Ramadan ini, Asri berkata pembuangan sisa makanan dijangka tidak berubah dan dijangka meningkat sedikit.

Katanya kira-kira lima peratus peningkatan sisa pepejal direkodkan dalam masa sehari di bulan Ramadan iaitu meningkat sebanyak 180 tan metrik sisa termasuk sisa makanan, sisa pukal dan sisa kebun.

Menurut Asri, setiap hari Johor menerima sisa pepejal sebanyak 3,600 tan metrik. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori