JASIN – Sungai Rambai bakal mencatatkan sejarah tersendiri apabila diisytiharkan sebagai daerah kecil yang pertama di Melaka, esok.
Langkah menaik taraf Sungai Rambai dari sebuah pekan berasaskan aktiviti pertanian kepada daerah kecil dilihat akan merubahnya menjadi sebuah hab pertumbuhan ekonomi baharu di selatan Melaka seiring dengan pembangunan bandar-bandar lain.
Sungai Rambai, yang mempunyai kira-kira 21,000 penduduk dan terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari Muar, Johor, disahkan sebagai daerah kecil berkuat kuasa 1 Mac 2017 menerusi surat rasmi daripada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai yang dibangunkan pada 2015 antara yang membawa banyak perubahan positif kepada daerah kecil itu serta penduduknya, dan ia dilihat terus menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih pesat.
Selain itu, lima kluster pembangunan khusus dirangka bagi pembangunan jangka panjang Sungai Rambai iaitu pertumbuhan ekonomi, pendidikan, agama, infrastruktur serta kebajikan masyarakat.
Antara projek mega yang sedang dibina di Sungai Rambai ialah projek Kota Budaya, Aerodrome Sungai Rambai dan pelabuhan Agro yang boleh menjana dan menjadi pemakin sosial ekonomi masyarakat daerah kecil itu.
Sungai Rambai merupakan satu daripada lima kawasan Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Jasin.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyempurnakan majlis pengisytiharan Sungai Rambai sebagai daerah kecil di RTC Sungai Rambai pagi esok. – BERNAMA