LANGKAWI – Tentera Darat hari ini mencipta sejarah baharu dengan menerima 12 buah helikopter Sikorsky S61A-4 yang dinaik taraf daripada Tentera Udara Diraja Malayia (TUDM) pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA’15) di sini.
Penyerahan Sikorsky S61A-4 atau lebih dikenali sebagai Nuri disempurnakan oleh Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Roslan Saad dan diterima oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sambil disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Hishammuddin berkata penyerahan 12 helikopter Nuri ini merupakan detik bersejarah dan mengembalikan nostalgia peribadi kepada beliau kerana pembelian Nuri sejak 48 tahun lalu dibuat oleh Allahyarham bapanya, Tun Hussein Onn.
“Penyerahan ini sangat bersejarah bukan sahaja kepada Tentera Darat dan TUDM malah buat diri saya sendiri keranan keputusan untuk membeli Nuri dibuat oleh arwah ayah saya sendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu Raja Mohamed Affandi berkata semua pesawat Nuri yang diterima ini akan digunakan untuk tujuan operasi Tentera Darat dan tidak terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Nuri ini kita akan gunakan untuk tujuan operasi, bekalan sempadan dan mengangkut anggota di kawasan yang kita jalankan operasi,” katanya.
Beliau berkata semua Nuri tersebut masih berada di pangkalan TUDM Butterworth dan akan dipindahkan ke Pangkalan TUDM Kuantan kerana Tentera Darat juga beroperasi di pangkalan sama.
“Buat sementara kami akan beroperasi di Butterworth, tetapi kami sedang menimbang untuk berpangkalan di Kuantan kerana kami berkongsi kemudahan sama dengan tentera udara,” katanya.
Nuri kini sedang melalui proses menaik taraf melalui Program Naik Taraf Nuri (NUP) yang mengemas kini paparan kokpit pesawat kepada paparan ‘glass cockpit’ melibatkan sistem navigasi, komunikasi dan sistem analog yang lain.
Sehingga kini, Nuri telah menjangkau usia 48 tahun sejak digunakan oleh TUDM dan purata jam penerbangan setiap pesawat adalah 14,000 jam penerbangan dan TUDM mempunyai 38 pesawat keluaran syarikat Sikorsky, Amerika Syarikat. – BERNAMA