KUALA NERUS – Terengganu mencatat ketibaan pelancong melebihi tiga juta orang bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata kebanyakan pelancong berkenaan mengunjungi pulau-pulau peranginan di negeri ini.
“Pulau peranginan seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol masih menjadi tarikan utama kepada pelancong asing, dengan 90 peratus penginapan di resort-resort dipenuhi pengunjung kebanyakannya dari Singapura.
“Jadi, dari segi kualiti kita melepasi atau mencapai sasaran Visit Beautiful Terengganu 2017 walaupun dari segi kuantiti menyasarkan lima juta pelancong, sedikit berkurangan. Tetapi kita masih ada masa sehingga Disember dan saya yakin jumlahnya mampu menghampiri sasaran,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Tun Faisal berkata pihaknya kini giat mempromosikan tarikan pelancongan di tanah besar atau daratan seperti di Tasik Kenyir yang akan menjadi zon bebas cukai, dan merupakan imej pelancongan baharu di negeri ini.
“Kita mahu cuba tampilkan satu imej baharu Terengganu supaya dapat menarik pelancong mewah dari Eropah, Jepun dan Australia, selain China dan Singapura.
“Kita yakin apabila semua produk terdapat di Tasik Kenyir yang akan dijadikan kawasan bebas cukai itu siap kelak, sudah pasti ia menjadi industri baharu yang mampu menjana pendapatan kepada rakyat dan negeri,” katanya. – BERNAMA