ARAU – Rakyat Malaysia yang memandu di Thailand tidak perlu memiliki lesen antarabangsa, sebaliknya cukup dengan lesen sah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kata Duta Thailand ke Malaysia, Damrong Kraikruan.
Malah, beliau turut menafikan pihak berkuasa Thailand ada mengeluarkan arahan agar rakyat Malaysia yang mahu memandu kenderaan di negara itu perlu memiliki lesen memandu antarabangsa berkuat kuasa 1 Februari.
“Penyebaran maklumat mengenai perkara tersebut kononnya lesen memandu yang dikeluarkan pihak JPJ tidak diterima di Thailand seperti mana tersebar luas menerusi laman sosial adalah tidak benar sama sekali.
“Atas semangat ASEAN, negara anggota memperakui lesen memandu yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa pengangkutan masing-masing dan sah digunakan untuk memandu dalam kalangan negara anggota,” katanya.
Damrong ditemui pemberita sebelum beliau berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas mengadap rasmi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, di sini pada malam Rabu.
Menurut maklumat disebarkan melalui laman sosial, pihak berkuasa Thailand akan membuat sekatan jalan di tempat tertentu untuk menahan pemandu asing di negara berkenaan yang tidak memiliki lesen antarabangsa.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA