SITIAWAN – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menanam 15,000 pokok bakau jenis minyak dan kurap di sekitar Sungai Tiram di sini, hari ini dalam usaha memelihara ekosistem maritim di sepanjang perairan negara.
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata pokok itu ditanam sebagai benteng pertahanan bagi menghalang hakisan tanah dan pemecah ombak semula jadi.
“Difahamkan seluas 300 meter di kawasan ini (paya bakau) berlaku hakisan (tanah), dengan penanaman pokok ini kita dapat menyumbangkan sesuatu kepada negeri sekali gus melaksanakan hasrat Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) untuk menanam lima juta pokok bakau dalam masa tiga tahun ini,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program itu yang melibatkan 1,000 peserta antaranya anggota TLDM, polis, Majlis Perbandaran Manjung, Pejabat Tanah dan Daerah Manjung serta pelajar sekolah dan Insitusi Pengajian Tinggi.
Program sehari itu adalah permulaan kepada Sambutan Hari TLDM ke-83 dengan simbolik pertahanan persisiran pantai selaras dengan fungsi TLDM sebagai benteng pertahanan dan keselamatan maritim negara.
Menurut Ahmad Kamarulzaman, sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan maritim negara, TLDM komited ke arah ‘Green Navy’ selaras dengan slogan kerajaan ‘Go Green Malaysia’.
Katanya tiga aspek ‘Green Navy’ adalah ekonomi yang menjana ekonomi setempat, persekitaran yang membawa kepada kesedaran kehijauan dan sosial untuk generasi akan datang.
Beliau berkata usaha ini dapat menyemarakkan semangat kesukarelawan antara anggota dengan masyarakat dalam memulihara alam sekitar dan tanaman paya bakau.
“Ini satu usaha murni dan tidak hanya di laut kita juga mahu membantu menjaga persekitaran supaya ia dapat dinikmati generasi akan datang,” katanya. – BERNAMA