KUALA LUMPUR – Tun Razak Exchange (TRX) berjaya menarik pemaju hartanah utama Indonesia, Mulia Group, untuk membangunkan Signature Tower di pusat kewangan antarabangsa itu di sini.
Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE), pemaju induk TRX, memeterai perjanjian jual beli dengan Mulia Group bagi hak pembangunan untuk plot tanah.
Urus niaga tanah itu bernilai RM665 juta, kata TRX.
Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB RE Datuk Azmar Talib berkata : “Kami gembira dapat bekerjasama dengan Mulia Group untuk merealisasikan potensi TRX. Pelaburan penting ini menyokong keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia”.
Mulia Group, yang menerajui pasaran hartanah komersial premium di Jakarta, membangun, memiliki dan menguruskan tujuh bangunan pejabat utama di pusat perniagaan Jakarta.
Hartanah-hartanah tersebut termasuklah Wisma Mulia 1 dan 2, yang merupakan antara bangunan pejabat paling tinggi dan berprestij di Jakarta.
Presiden Direktur dan pemilik Mulia Group, Eka Tjandranegara berkata syarikat itu gembira dapat memulakan projek membangunkan Signature Tower yang akan menjadi mercu tanda baharu Kuala Lumpur.
“Kami melihat potensi TRX untuk mengukuhkan lagi peranan bandar raya ini sebagai ibu kota kewangan. Ia juga membantu pelan pertumbuhan dan pengembangan kami.
“Saya komited secara peribadinya untuk melihat projek ini berjaya berdasarkan kepada pengalaman luas kami,” katanya.
Mulia Group kini menyertai senarai pelabur seperti Lend Lease International, kumpulan hartanah dan prasarana global membangunkan Lifestyle Quarter and Veolia Water Technologies bernilai RM8 bilion, yang mana teknologi pengurusan air ini akan dapat mengurangkan separuh daripada penggunaan air boleh diminum di TRX.
Menurut kenyataan itu, perkhidmatan transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) akan menghubungkan TRX ke stesen terminal Kereta Api Laju akan datang di Bandar Malaysia dan menghubungkannya ke pusat kewangan Singapura.
TRX juga akan dihubungkan terus ke jalan raya utama dan lebuh raya utama seperti SMART, MEX, Jalan Tun Razak dan Jalan Sultan Ismail. – BERNAMA