KOTA BHARU – Bidang Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan terakhir kerana ia semakin mendapat pengiktirafan masyarakat dunia, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Beliau berkata pelajar perlu mengubah persepsi bahawa TVET adalah pilihan kedua selepas tidak berjaya menyambung pengajian dalam bidang akademik dan dianggap kelas rendah.
“Sekarang bidang ini telah menjadi bidang yang sama penting dengan bidang akademik lain dalam agenda pembangunan negara bagi mengejar fasa revolusi industri 4.0, malah TVET dapat menggerakkan ekonomi negara di samping mewujudkan peluang pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Giatmara 2018 Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Awang Adek berkata Mara kini lebih menfokuskan TVET untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran dan menyokong saranan kerajaan ke arah negara yang berpendapatan tinggi.
Dalam pada itu, beliau berkata pada tahun ini, Mara mendapat peruntukan sebanyak RM2.5 bilion daripada kerajaan antaranya untuk program penajaan penganjuran pendidikan di dalam dan luar negara pelajar Bumiputera.
“Komitmen dan keyakinan kerajaan terhadap Mara sangat tinggi, malah kerajaan juga sentiasa menyokong penuh segala usaha yang dilakukan Mara untuk membantu golongan Bumiputera,” katanya.
Awang Adek yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok berharap kerajaan Barisan Nasional akan terus kekal agar masa depan Mara terjamin.
“Ada parti politik yang tidak mesra dalam kebajikan Bumiputera, jadi saya risau adakah kerajaan lain (jika ada) sanggup memberi peruntukan besar kepada Mara untuk kebajikan dan kesejahteraan hidup golongan Bumiputera,” katanya.
Setakat ini, terdapat seramai 114,000 pelajar di bawah institusi pendidikan Mara seperti Universiti Kuala Lumpur (UNIKL), Kolej Profesional Mara (KPM), Kolej Poly Tech MARA (KPTM) dan Giatmara.
Pada majlis itu, seramai 1,011 graduan yang berjaya menamatkan pengajian pada 2017 bagi tahap dua dan tiga menerima Sijil Kemahiran Malaysia berserta sijil profesional Giatmara dari 15 pusat Giatmara di Kelantan. – BERNAMA