ALMATY, Kazakhstan – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerbitkan 16 judul buku dalam bentuk elektronik sepanjang tahun ini, sejajar dengan tema “Gaya Hidup Digital: Menghubungkan masyarakat dan menyatukan dunia ” universiti berkenaan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP bertitah lebih banyak buku akan diterbitkan melalui Penerbit UniMAP yang boleh dibaca secara digital atau dalam talian.
Bertitah pada majlis penyerahan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Pejabat Pentadbiran Agama Islam Kazakhstan bagi kawasan Almaty semalam, baginda berharap pendigitalan buku-buku itu akan memudahkan pembaca.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs menyerahkan sumbangan zakat itu melalui Imam Besar Masjid Besar Almaty, Nurbek Aueskhanuly Yesmaganbet di masjid berkenaan.
Baginda bertitah penerbitan buku elektronik dibuat susulan perkembangan pelbagai peranti elektronik didorong oleh pertumbuhan aplikasi serta perkhidmatan dalam talian.
Titah baginda, tema gaya hidup digital itu juga dibuat berikutan perkembangan pelbagai peranti elektronik didorong pertumbuhan aplikasi serta perkhidmatan berasaskan awan.
Ia juga menggambarkan gaya hidup moden yang sarat dengan teknologi terkini, membolehkan masyarakat bekerja, bermain dan berkongsi dengan cara lebih terbuka.
Menurut baginda capaian internet sebegini meresap dalam kehidupan seharian hingga masyarakat kini lebih cekap dan kreatif.
Baginda berharap UniMAP menjadi penggerak teknologi yang dapat menzahirkan gaya hidup digital sebagai medium penyatuan dan perpaduan masyarakat.
Baginda turut mengucapkan syabas kepada barisan penulis yang berusaha gigih menukilkan idea sehingga menzahirkan warkah ilmu yang memperkayakan khazanah Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) UniMAP di Pauh Putra.
Pada masa yang sama, baginda juga berharap semoga usaha itu menjadi rujukan terbaik buat seluruh warga kampus serta masyarakat secara amnya.
Selain buku-buku yang diterbitkan secara elektronik, sebanyak lima judul buku juga dihasilkan penulis UniMAP sejak awal tahun ini.
Raja Muda Perlis berada di Almaty bagi melawat Al-Farabi Kazakh National University sebagai salah satu program Jelajah Ilmu UniMAP 2017 yang berakhir semalam.
Jelajah Ilmu ke Azerbaijan dan Kazakhstan itu turut disertai Timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Mohd Foád Sakdan dan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti berkenaan. – BERNAMA