TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi universiti pertama di Perak sebagai mutawalli (pentadbir/nazir) wakaf yang dilantik oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Datuk Dr Amiruddin Muhamed berkata pelantikan UPSI sebagai mutawalli bertujuan untuk mengutip dana wakaf bagi pembinaan kompleks pondok bitara dan akademi pendidikan UPSI yang bernilai RM25 juta.
“Kita meluluskan permohonan UPSI setelah mematuhi kehendak hukum syarak dan kita memberi kebenaran kepada UPSI sebagai mutawalli wakaf bagi tempoh dua tahun untuk mengumpul dana pembinaan projek wakaf tersebut.
“Apabila telah cukup dana dan mereka telah melaksanakan kerja-kerja pembinaan projek berkenaan, maka habislah tempoh mutawalli itu. Peranan mutawalli adalah mengutip dana wakaf untuk membangunkan projek spesifik yang telah kita luluskan dan tempoh itu terpulang kepada pelaksanaan sesuatu projek,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran dana wakaf Al-Mursyidin yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini hari ini.
Amiruddin berkata MAIPk merupakan pemegang tunggal bagi semua wakaf di negeri ini dan boleh melantik mana-mana pihak sebagai mutawalli wakaf mengikut Enakmen Wakaf Perak 2015.
Menurut beliau, MAIPk turut meluluskan permohonan daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) sebagai mutawalli wakaf, bulan lepas dan kini sedang dalam peringkat akhir proses permohonan sebelum melaksanakan pelantikan berkenaan.
“Apabila ada permohonan dan mematuhi prosedur operasi standard dan parameter syarak yang ditetapkan, kita pasti akan mempertimbangkan permohonan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UPSI Dr Mohd Abdul Masir Abd Latif berkata pelantikan UPSI sebagai mutawalli wakaf memberi ruang kepada universiti pendidikan itu melakukan kutipan bagi pembinaan projek wakaf tersebut dalam menyediakan pengajian dan pendidikan Islam.
“Anggota Majlis Mesyuarat Induk UPSI yang akan menentukan bila projek itu dilaksanakan dan kita meletakkan sasaran selama dua tahun untuk mengumpul dana berkenaan,” katanya.
Mohd Abdul Masir berkata pembinaan pondok bitara memberi fokus kepada pengajian sepanjang hayat berkaitan kitab turath (kitab warisan) merangkumi pelbagai cabang ilmu Islam manakala akademi pendidikan memberi fokus bagi mewujudkan ruang untuk melaksanakan pendidikan berasaskan teori baharu.
“UPSI mengambil peluang (pembinaan projek wakaf) ini dan tidak hanya memberi tumpuan kepada golongan berusia 20 atau 30-an tetapi kita membuka peluang kepada warga emas yang berminat menyambung pengajian ilmu Islam melibatkan akidah, fiqah dan tauhid kerana kita mahu berkongsi kepakaran yang ada dengan masyarakat di negara ini,” katanya.
Terdahulu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran ketika berucap berkata usaha penubuhan dana wakaf Al-Mursyidin merupakan inisiatif dan inovasi baharu dalam usaha universiti memperoleh pendapatan alternatif bagi pembangunan pusat pengajian di UPSI.
“Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan peranan wakaf dan pembiayaan untuk penjanaan kewangan universiti di negara ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada MAIPk yang melantik UPSI sebagai mutawalli wakaf yang pertama di negeri ini,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPSI Datuk Dr Noraini Idris. – BERNAMA