SEREMBAN – Lima belas penumpang sebuah bas ekspres berhadapan detik mencemaskan selepas bas yang dinaiki dari Singapura menuju Genting Highlands, Pahang terlibat dalam kemalangan.
Kemalangan yang berlaku pada 11.53 pagi di Kilometer (KM) 269 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran susur keluar Bandar Ainsdale dekat sini mengakibatkan seorang maut manakala lima lagi cedera selepas bas yang dinaiki melanggar belakang sebuah lori.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis ketika dihubungi berkata mangsa yang maut ialah seorang penumpang wanita yang dipercayai tercampak keluar dari bas berkenaan.
Lima yang cedera ialah tiga penumpang serta pemandu bas berkenaan dan seorang kelindan lori.
“Dalam kejadian itu, pemandu bas tersepit di bahagian pemandu manakala terdapat seorang wanita tercampak keluar ke atas jalan raya dari tingkat dua bas berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
“Selain itu, 15 penumpang lain terselamat termasuklah pemandu lori berkenaan yang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini, hari ini.
Norazam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.35 pagi dan seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Seremban dan Senawang dikerahkan ke lokasi kejadian.
Katanya, mangsa yang maut dan kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di sini bagi bedah siasat dan rawatan lanjut. – BERNAMA