NEW DELHI – Kerajaan India menghantar seorang menteri ke Arab Saudi bagi bawa pulang lebih 10,000 pekerja India yang mengalami krisis makanan kerana tidak mampu beli makanan selepas diberhentikan kerja.
Harga minyak yang rendah memaksa kerajaan Arab Saudi untuk mengurangkan perbelanjaan sejak tahun lalu sekali gus meletakkan tekanan kewangan banyak syarikat pembinaan tempatan yang bergantung kepada kontrak kerajaan.
Ini memaksa beberapa syarikat menghadapi kesukaran membayar gaji pekerja asing dan sudah memberhentikan ribuan pekerja sehingga tiada wang langsung untuk membeli makanan apatah lagi tiket penerbangan pulang.
Menteri Luar India, Sushma Swaraj berkata, lebih 10,000 warga India di Arab Saudi dan Kuwait menghadapi krisis makanan kerana kesukaran ekonomi sambil meminta anggaran tiga juta warga India di Arab Saudi untuk bantu.
“Kebanyakan warga India hilang pekerjaan di Arab Saudi dan Kuwait. Majikan mereka pula tidak mampu membayar gaji malah ada yang langsung terpaksa tutup kilang mereka,” kicau beliau melalui akaun Twitternya pada Sabtu.
Salah seorang daripada dua menteri muda hal ehwal luar V.K. Singh akan ke Arab Saudi minggu depan manakala seorang menteri muda ehwal luar, M.J. Akbar akan membawa isu itu dengan pihak berkuasa dua negara tersebut.
Sushma juga menyatakan bahawa pemerintah India sedang memantau rapi situasi tersebut pada setiap jam dan mengicau menerusi Twitternya: “Sementara situasi di Kuwait boleh ditangani, perkara di Arab Saudi lebih teruk.”
Dalam pada itu, Konsulat Besar India di Jeddah melalui Twitter rasmi pada 30 Julai mengicau bahawa ia sudah mengagihkan sebanyak 15,475 kilogram makanan selama tiga hari dengan kerjasama rakyat India di situ.
Pejabat konsul tersebut juga memuatnaikkan gambar-gambar memaparkan warga India yang diberhentikan kerja dan tiada lagi sumber pendapatan terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan paket-paket makanan percuma.
Kesusahan dialami pendatang India timbul di tengah-tengah bantahan mengenai suasana kerja di Arab Saudi. Ratusan pekerja asing di syarikat pembinaan Saudi Oger mengadakan protes jalanan di Jeddah hujung minggu.
Mereka mendakwa bahawa gaji tidak dibayar selama tujuh bulan, menurut laporan portal tempatan Arab News. Bantahan awam secara aman itu berjaya disuraikan oleh pihak polis selepas didapati mengganggu aliran trafik.
Saudi Oger enggan memberi komen namun kerajaan Arab Saudi menyatakan ia menyiasat sebarang aduan mengenai syarikat tidak bayar gaji dan jika perlu, memaksa mereka membuatnya dengan denda dan hukuman lain. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA