IPOH – Sebanyak 24 kematian akibat lemas dicatatkan di Perak bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Sayani Saidon .
Beliau berkata mengikut statistik, sebanyak 17 kematian melibatkan lelaki dewasa dan seorang warga emas, manakala enam lagi mangsa membabitkan tiga remaja lelaki dan tiga kanak-kanak lelaki sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya kesemua kematian itu berlaku antaranya di sungai, lombong, air terjun dan kolam.
“Pada 2017 pula, sejumlah 23 kes kematian direkodkan bagi tempoh yang sama membabitkan mangsa kesemuanya merupakan lelaki dewasa.
Kebanyakan mangsa yang lemas adalah semasa mereka melakukan aktiviti memancing atau menjala di sungai atau lombong,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan jabatan itu itu di sini hari ini.
Sayani berkata antara faktor berlakunya kejadian lemas adalah disebabkan berlaku pengabaian terhadap aspek keselamatan.
Katanya orang ramai juga dilihat masih tidak peduli dan memandang remeh mengenai keselamatan mereka di kawasan air walaupun mengetahui banyak kes lemas dilaporkan sejak kebelakangan ini.
“Orang ramai perlu memantau kawasan persekitaran sama ada selamat untuk melaksanakan apa-apa aktiviti serta melihat papan tanda keselamatan di lokasi dan perlu mengelak kawasan yang sering dilanda kepala air.
Ibu bapa juga perlu memantau pergerakan anak masing-masing dan menasihati mereka supaya berhati-hati serta menjauhi kawasan air yang berbahaya bagi mengelakkan kejadian lemas berlaku selain memastikan anak mereka berada di bawah jagaan orang dewasa,” katanya. – BERNAMA