MERIAH… Kejohanan Dam Aji Antarabangsa 2018 melibatkan seramai 2,626 peserta di Institut Pendidikan Guru (IPG), Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini diiktiraf paling ramai penyertaan.
Lapor Sinar Harian, acara permainan itu melibatkan 25 sekolah rendah dan 18 sekolah menengah dari seluruh negeri tersebut serta dari 12 negara luar termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, Jepun, Senegal dan Britain.
Kejohanan anjuran Yayasan Generasi Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) dicatatkan penyertaan teramai dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Profesor Dr. Zaliman Sauli berkata, peserta kali ini melibatkan pelbagai kelompok iaitu murid sekolah, penuntut pengajian tinggi, pekerja agensi kerajaan dan juga kelab dan persatuan Dam Aji.
“Peserta dibahagikan kepada tiga kategori iaitu bawah 12 tahun, bawah 18 tahun dan 18 tahun ke atas.
“Kita menawarkan hadiah utama RM3,000 bagi setiap kategori selain cabutan bertuah berupa motosikal,” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman mewakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed telah merasmikan majlis tersebut.
Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar MBOR, Mohamad Alex Edward; Ketua Pegawai Eksekutif YGM, Dr. Roslan Basaruddin dan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti UMK, Prof. Madya Dr. Mohad Aniz. – MYNEWSHUB.CC/MIZE