KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengeluarkan senarai terkini 58 kit ujian kendiri COVID-19 yang telah diberi kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kit ujian kendiri diluluskan itu dijual di farmasi komuniti, fasiliti kesihatan dan premis yang berdaftar dengan Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sahaja.
“Orang awam dinasihatkan supaya membeli kit ujian di fasiliti berkenaan sahaja,” katanya dalam hantaran di laman Twitternya, hari ini.
Orang ramai boleh merujuk senarai lengkap mengenai kit ujian itu di portal rasmi MDA atau laman Facebook dan Instagram MDA.
Setakat ini, kit ujian kendiri COVID-19 difahamkan turut diimport dari China dan Korea, selain diperoleh dari pengeluar tempatan.
Sebanyak 2,570 premis perniagaan berdaftar di bawah KPDNHEP, kategori pasar raya, rangkaian kedai serbaneka dan stesen minyak juga sudah diberi kelulusan untuk menjual kit ujian kendiri jenis RTK Antigen.
-Berita Harian