BERSEMPENA dengan lebaran yang bakal tiba, pelakon terkenal Datuk Aaron Aziz memberitahu dia akan memandu dari Kuala Lumpur untuk pulang ke Singapura.
Memetik mStar Online, Aaron berkata, dia memilih untuk memandu berbanding menaiki pesawat kerana ingin merasai keseronokan perjalanan pulang ke kampung selain mewujudkan memori kepada tiga anaknya.
“Boleh sahaja kalau naik pesawat dan lebih jimat masa tetapi feel tu tiada. Kalau memandu perjalanan itu lebih seronok dan dapat beri memori kepada anak-anak tentang pengalaman pulang ke kampung sambil dengar lagu raya,” kata Aaron.
Ujar pemilik nama sebenar Aaron Mustapha Aziz itu lagi, dia juga memilih memandu ke Singapura kerana memudahkan mereka sekeluarga bergerak memandangkan mereka bercuti selama seminggu.
“Kami akan bercuti selama seminggu dan peluang ini akan kami ambil sebaik-baiknya untuk menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai kerana ini sahaja masa dapat berkumpul.
“Lebih mudah kalau bawa kereta memandangkan kami tiada kenderaan di Singapura jadi mudah sikit bergerak,” ujar pelakon kelahiran Kota Singa itu.
Sementara itu berkongsi mengenai perkembangan terbaru, Aaron berkata selepas bercuti dia akan kembali sibuk di lokasi penggambaran untuk filem berjudul JB Pailang arahan Raja Mukhriz. – MYNEWSHUB.CC