SIAPA sangka, akhirnya pelawak terkenal Abam Bocey kini sudah mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, Siti Norhidayah Mohd. Ali pada petang semalam.
Sebagai isteri, Siti Norhidayah telah menyangkal sama sekali dakwaan bahawa kononnya dia memilih Abam kerana harta dan populariti!
“Saya setuju berkahwin dengan Abam sebab dia seorang yang peramah dan merendah diri. Sikap bertanggungjawab dia turut memikat hati.
“Kalau orang kata saya pilih Abam sebab harta dan populariti, saya menafikan tentang hal itu. Saya dah kenal Abam empat tahun lalu.,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Bagi Hidayah, 25, dia memilih Abam kerana terpikat dengan sifat peramah lelaki tersebut sejak mereka mula berkenalan empat tahun yang lalu.
“Inilah dikatakan jodoh dan mohon orang ramai mendoakan yang baik-baik untuk kami,” ujarnya lagi.
Hidayah dan Abam telah sah bergelar suami isteri semalam dengan sekali lafaz di majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin dekat Sabak Bernam, Selangor.
Turut kelihatan sahabat baik Abam iaitu Achey dengan Fad yang merupakan ahli kumpulan Bocey hadir untuk menyaksikan hari bersejarah seterusnya melengkapkan kesemua hali Bocey kini sudah berumah tangga.
Bagaimanapun, Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 29 memberitahu bahawa dia agak berasa kecil hati apabila baca komen negatif yang telah dilemparkan kepada isterinya itu baru-baru ini.
Namun, sebagai langkah selamat, Abam tidak mahu mengambil terlalu serius mengenai hal tersebut dan hanya mendiamkan diri.
“Sejujurnya, terasa hati juga apabila dengar orang kata begitu. Tapi tak apalah, biarlah orang nak cakap apa pun.
“Lebih ramai yang menyokong perkahwinan saya ini berbanding yang berkata buruk. Jadi saya fikir tak perlulah nak ambil kisah sangat tentang hal itu.
“Yang penting hubungan ini direstui keluarga dan doakan semoga berkekalan hingga ke akhir hayat,” kata Abam.
Biasalah tu, netizen memang tak pernah akan berhenti bercakap buruk mengenai orang lain. Sebagai selebriti, perkara macam ni pasti tak dapat dielakkan.
Apa pun, tahniah diucapkan kepada Abam dan isteri. Semoga mahligai yang dibina sentiasa mendapat keberkatan oleh-Nya. – MYNEWSHUB.CC / AH