Abang Syed Saddiq Tidak Wakili KBS

KUALA LUMPUR – Kehadiran Syed Abdullah Syed Abdul Rahman ke Grand Final sesi kelayakan e-sukan Sukan SEA peringkat kebangsaan di Central i-City, Shah Alam pada Sabtu lalu atas kapasiti peribadi.

Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) dalam satu kenyataan berkata, Syed Abdullah tidak mewakili adiknya, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan.

ESM menegaskan pihaknya memandang serius mengenai tuduhan yang dilemparkan oleh masyarakat berhubung kehadiran Syed Abdullah dalam program itu.

“Setelah penelitian semula dibuat, Syed Abdullah tidak dijemput dan kehadirannya pada program tersebut bukanlah mewakili Menteri ataupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Bagaimanapun kehadirannya adalah di atas kapasiti peribadi sebagai peminat dan penyokong kepada pembangunan industri sukan elektronik.

“Sebagai contoh, sekiranya Syed Abdullah hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak, pihak penganjur pasti akan memberi penghormatan kepadanya serta ahli keluarga lain yang hadir bagi menzahirkan sokongan kepada industri sukan tersebut,” jelas kenyatan itu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, ESM berkata, sebagai penganjur program tersebut dan persatuan e-sukan negeri pastinya berasa dihargai apabila ada wakil atau ahli keluarga Menteri yang sudi hadir meluangkan masa untuk menyaksikan sendiri kelayakan ke Sukan SEA itu.

“Justeru, atas semangat menghormati Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan, kami menyantuni dan menghargai kehadiran Syed Abdullah yang amat meminati e-sukan.

“Kami tidak berasa kecil hati meskipun Menteri Belia dan Sukan tidak dapat hadir ke program tersebut. Beliau pasti mempunyai tugasan yang lebih penting untuk didahulukan dan kami yakin, beliau sentiasa meletakkan agenda pembangunan belia & sukan negara di atas segala-galanya.

“Sukan adalah platform untuk menyatukan kita semua, bukan memecahbelahkan kita. Walaupun kita berlainan agama, bangsa, kita ketepikan semangat kepartian politik.” – MalaysiaGazette