SALAM Maal Hijrah 1439 kepada seluruh umat Islam dan semoga kehadiran tahun baharu ini memberikan satu azam baharu di samping penghijrahan ke arah yang lebih baik.
Alhamdulillah dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pelakon, Adam Corrie Lee Abdullah apabila diumumkan menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Saudara Kita peringkat negeri Selangor di Shah Alam.
Adam yang berasal dari Pulau Pinang dan sudah memeluk Islam sejak 2007 turut berkongsi berita baik tersebut menerusi satu gambar dalam akaun Instagram miliknya, semalam.
Menerusi gambar berkenaan, aktor yang sudah berkahwin dengan Fazima Fuad serta terkenal menerusi watak Dragon dalam filem KL Gangster itu melahirkan rasa syukur atas anugerah diterima.
“Alhamdulillah, saya telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah – Saudara Kita peringkat Negeri Selangor. Semoga dengan anugerah ini memberi saya semangat untuk terus menyambung dakwah Rasulullah SAW hingga akhir hayat saya.
“La haula wa la quwwata illa billah (Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata) Alhamdulillah. Salam Maal Hijrah 1439h buat semua. #adamcorrie #maalhijrah,”  kapsyen menerusi gambar berkenaan.
Gambar yang menerima lebih daripada 10,000 tanda likes dilihat mendapat reaksi yang pelbagai daripada netizen. Semua maklum Adam gigih menjadi aktivis dakwah dalam pelbagai badan sukarela.
Rata-rata antara mereka berbangga apabila melihat pencapaian diterima oleh Adam, 48, yang berasal dari keluarga tentera dan berketurunan Cina sebelum diberi hidayah mengucap dua kalimah syahadah.
Tahniah yang tidak terhingga sekali lagi diucapkan buat Adam atas pengiktirafan tersebut.
Bersamalah kita berdoa dengan kedatangan tahun baharu hijrah ini, ukhuwah serta kekuatan umat Islam akan lebih kukuh dan dapat diperkasakan pada tahun akan datang. Insya Allah! – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura