MINGGU kedua program realiti Gegar Vaganza 4 (GV4)Â menyaksikan Ferhad menamatkan perjalanannya di pentas realiti itu dan Liza Hanim mendapat markah tertinggi.
Namun, ada pula kedengaran cakap-cakap yang kurang enak berkenaan dengan penampilan salah seorang peserta program tersebut.
Mendendangkan lagu berjudul Dingin, Aishah menerima kecaman apabila gaun bewarna merah yang digayakannya dikatakan tidak kena dengan statusnya sebagai seorang penyanyi legenda.
Kemudian, timbul pula desas desus yang mengatakan pelantun lagu Janji Manismu itu tidak mendapat tajaan untuk program tersebut.
“Semalam ada yang berborak dengan Kak Aishah GV4, sayu pula dengar cerita apabila dia cakap tak ada sesiapa sudi taja baju untuknya,” tulis Deegun Rahman di laman Facebook.
Namun, selepas beberapa jam entri itu dimuat naik, Deegun sekali lagi memuat naik satu kenyataan yang menyatakan ramai pereka fesyen yang sudi untuk bantu penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu.
“Terharu sebab ramai pereka muda yang sanggup untuk tolong Kak Aishah. Tak sangka pula ramai yang kongsi posting saya,” tulisnya lagi.
Ekoran beberapa entri yang dimuat naik di laman Facebook itu, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin telah menafikan kenyataan yang tiada pihak ingin menaja pakaiannya.
“Macam jadi viral pula cerita baju saya untuk GV4 ni. Tidak benar orang kata tiada siapa nak taja baju saya dan saya juga tidak pernah bercerita tentang itu.
“Saya juga tidak suka ramai orang mengiring, cukuplah sekadar suami,” tulis Aishah di laman Facebook.
Menurut penyanyi berusia 52 tahun ini, dia agak kurang selesa jika diiringi ramai orang. Disebabkan itu jugalah dia hanya menggunakan khidmat jurusolek yang disediakan pihak Astro.
“Saya rimas orang keliling ramai-ramai dan sememangnya dari dulu pun saya macam tu,” tulisnya lagi.
Dalam pada itu, Deegun yang juga merupakan seorang wartawan hiburan memohon maaf secara terbuka di Facebooknya kepada penyanyi berkenaan.
“Apapun, dengan rendah diri saya nak mohon maaf kepada Kak Aishah, waris sekampung saya dari Negeri Sembilan yang berasa tidak selesa dengan keadaan tersebut,” tulisnya.
Jelasnya, entri yang dimuat naik itu bukanlah untuk mengaibkan penyanyi legenda berkenaan, malah sekadar ingin membantu Aishah dalam program tersebut. – MYNEWSHUB.CC/SA