KUALA LUMPUR: Satu akaun Facebook milik Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, telah ditemui dan ini mungkin membawa kepada pembunuhannya, lapor sebuah laman web berita bebas negara itu.
Kekerapannya berkongsikan perihal peribadi di laman FBnya mungkin menyebabkan perisik mudah untuk mengekori dan mengintipnya.
Jong-nam, yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Isnin, telah ke luar negara menggunakan pasport pengenalan diri ‘Kim Chol’, menurut polis Malaysia.
NK News, yang tertumpu kepada berita-berita daripada Korea Utara, melaporkan terdapat sebuah akaun FB milik seseorang bernama ‘Kim Chol’ yang mengandungi gambar-gambar lama Jong-nam di Macau, China.
Profail itu turut mempunyai beberapa bayangan berbentuk aktiviti alam maya Jong-nam yang mengesahkan bahawa akaun itu memang miliknya.
Tinjauan Mynewshub turut berjaya menjumpai profail FB kepunyaan anak sulung Kim Jong-il ini.
NK News melaporkan segala aktiviti Jong-nam sentiasa dikemaskini di akaun FBnya itu dan memberi tanggapan bahawa dia tidak pernah cuba untuk menyembuyikan diri daripada masyarakat dan juga tidak mampu menolak ‘godaan’ media sosial meskipun dia dipercayai diburu adik tirinya itu.
Selain itu, bekas setiausaha sulit presiden Korea Selatan Lee Myung Bak, Cha Du-hyeong pula mendakwa Jong-nam sering menggunakan e-mel untuk berkomunikasi.
“Aktiviti-aktiviti sebegini tidak menampakkan seperti ianya dilakukan oleh seseorang yang sering diancam bunuh.
“Saya rasa tidak mustahil ini adalah satu tindakan cuai bagi pihak Jong-nam, yang akhirnya membawa kepada kematiannya,” kata Cha kepada laman web berkenaan.
Dalam satu kiriman foto yang dimuat naik pada Oktober 2008, Jong-nam dilihat berdiri di atas sebuah kapal layar bersama-sama seorang lelaki kulit putih yang tidak dikenali. Pada 4 Mac 2013, dia meninggalkan komen pada gambar itu dengan menyatakan, “Saya rindu Eropah!”
“Tempat yang cantik!” kata Jong-nam dalam satu lagi gambar yang dimuat naik pada tahun 2010, di mana dia berdiri di hadapan sebuah hotel bertaraf lima-bintang, Wynn Macau.
Gambar profail akaun Kim Chol itu walau bagaimanapun tidak memaparkan wajahnya, tetapi gambar seekor tupai dan kiriman terakhirnya yang boleh dilihat orang awam adalah pada November 2015, apabila dia menukarkan fotonya dengan filter bendera Perancis bagi menunjukkan solidariti kepada mangsa-mangsa yang terkorban semasa serangan di Paris.
Selain itu, informasi lain yang terdapat pada profailnya termasuklah latar belakang pendidikannya, iaitu di International School of Geneva dan Lycée français de Moscou (Alexandre Dumas French School di Moscow,Rusia).
Jong-nam dilaporkan menghabiskan sebahagian besar zaman remajanya di kedua-dua buah sekolah ini.-MYNEWSHUB.CC/SK