Angan-Angan Jadi ‘MB Baharu’ Pecahkan PH

BELUM pun Pilihan Raya Umum ke-14 bermula, banyak ahli politik daripada parti-parti pembangkang telah menyusun gerakan untuk merampas tampuk kepimpinan sebagai menteri besar di negeri-negeri disasarkan.

Selain sibuk dengan penetapan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang kerusi Parlimen yang cukup, jawatan menteri besar sebenarnya satu lagi isu yang mula menggugat kesatuan pembangkang.

Penetapan jawatan menteri besar ini walaupun masih di peringkat angan-angan mempengaruhi pembahagian kerusi dan banyak isu kerjasama lain.

Di Kelantan, parti utama PH di sana, Parti Amanah Negara (PAN) pasti akan berusaha meletakkan calon mereka sebagai menteri besar kalau menang di negeri PAS itu.

Nama yang paling disebut-sebut ialah Husam Musa, yang semasa bersama PAS dilihat sebagai bakal pengganti menteri besar pada masa itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebagai exco kanan dan pemimpin berpengaruh dalam parti serta berimej profesional, Husam yang rapat dengan almarhum dianggap calon paling layak pada masa itu.

Husam sekarang bagaimanapun dicabar oleh tokoh-tokoh lain daripada partinya sendiri dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Imej Husam yang semakin merudum ekoran pelbagai insiden di samping pengaruh politiknya yang sudah jauh merosot berbanding dulu ialah antara faktor yang diambil kira, dan tidak keterlaluan jika dikatakan Husam sudah menjadi liabiliti kepada PAN dan PH.

Beliau juga bukan satu-satunya profesional di negeri Kelantan yang bergiat dalam politik sekarang ini.

PPBM juga mempunyai ahli profesional yang ramai dan mempunyai pengalaman dan jaringan yang kuat memandangkan pemimpinnya terdiri daripada Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun kemenangan PH di Kelantan tidak dijangka langsung oleh mana-mana pihak selain PH sendiri, perebutan untuk ditonjol sebagai bakal MB ini sangat penting bagi mereka.

Kedudukan sebagai calon menteri besar PH akan menonjolkan kredibiliti dan pengaruh pemimpin tersebut, yang boleh digunakan dalam percaturan menjelang PRU14.

Kerusi MB juga tidak semestinya diserahkan kepada parti dengan kerusi DUN paling banyak, tetapi juga hasil kompromi antara parti yang akhirnya akan mengambil kira tokoh yang sesuai dan diterima oleh pihak istana dan rakyat.

Hal yang sama juga berlaku di Selangor, negeri yang penguasaan pembangkang nampaknya sedang berada di penghujung tempoh.

Kerajaan negeri Selangor masih dikuasai PKR dan DAP, masing-masing dengan pengaruh tersendiri dan berkompromi untuk mengekalkan kuasa.

PAS pula semakin terpinggir walaupun beberapa orang wakil mereka dalam pentadbiran pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempunyai hubungan baik dengan pemimpin berpengaruh PKR itu.


Azmin mahu kekal sebagai MB jika PKR dan beberapa orang ADUN lain yang mahu bersama beliau menang dalam PRU14 nanti.

Bagaimanapun PH yang parti utamanya PKR dan DAP masih berharap untuk menang dalam PRU14 nanti, dan Azmin yang telah berkuasa selama ini bukan lagi pilihan mereka untuk menjadi MB.

Dalam PH, Azmin dianggap sebagai pemimpin yang sudah tidak lagi berkongsi agenda dengan PH, tetapi telah menjalin kerjasama dengan UMNO.

Kaitan dengan UMNO ini dijadikan bahan kempen untuk menjatuhkan Azmin yang pada masa yang sama juga bermasalah dalam hubungan dengan PAS di Selangor, yang memberikan kerusi selamat kepada beliau untuk ditandingi dan membolehkannya menjadi MB.

PAS juga bakal merebut kerusi MB sekiranya mendapat jumlah kerusi DUN yang cukup, memandangkan parti itu menjangka undi Melayu akan banyak menyebelahi mereka dalam PRU14 nanti.

Di Kedah pula, PPBM yang salah seorang pemimpinnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir pernah menjawat jawatan menteri besar negeri itu, berazam untuk menewaskan UMNO dan merampas kerusi MB.

Kedah dikatakan negeri PPBM paling berpengaruh, atas faktor Mukhriz dan bapanya Mahathir.

Negeri ini juga disasarkan oleh PAS yang menjangka akan berlaku “tsunami Melayu” di negeri-negeri majoriti Melayu.

PAS bagaimanapun akan berhadapan dengan cabaran PPBM dan parti serpihannya PAN dalam usaha untuk menjatuhkan UMNO.

Walaupun UMNO kali ini lebih bersedia untuk menawan kembali negeri dikuasai pembangkang terutamanya Selangor, parti-parti pembangkang masih menyimpan angan-angan yang tinggi untuk merebut kerusi MB.

Di kedua-dua negeri Kelantan dan Selangor, kedudukan parti yang memerintah semakin lemah disebabkan oleh jumlah parti pembangkang yang semakin banyak merebut jumlah kerusi yang terhad.

Menjelang PRU14 ini, penentuan jawatan PM dan MB telah menunjukkan fokus parti-parti pembangkang pada kuasa, hingga kurang menumpukan pada kebajikan dan keperluan rakyat.

Apa yang berlaku di kalangan parti pembangkang ini menjadi petunjuk kepada rakyat tentang siapa yang patut dipilih dalam pilihan raya nanti. – Mynewshub.cc/H

Kategori

Artikel Berkaitan

Terkini

SPRM Tahan Pengurus Syarikat Kemuka Butiran Palsu Kerja Baiki Jambatan

BATU PAHAT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Batu Pahat menahan seorang pengurus sebuah syarikat...

Syarikat AS Diharap Raih Peluang Pelaburan Dari RCEP

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap perniagaan Amerika Syarikat (AS)...

Kerajaan Disaran Tanggung Kos Beli Pelekat RFID

KUALA LUMPUR: Kerajaan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch 'n Go (TNG) disaran menanggung...

Bank Dunia Lulus Dana Pendidikan Kemboja

PHNOM PENH: Bank Dunia meluluskan pembiayaan baharu untuk membantu Kemboja meningkatkan akses yang adil...

Pulau Burung Diisytihar Kawasan Bencana Tahap Satu Susulan Kebakaran

NIBONG TEBAL: Tapak pelupusan sampah di Pulau Burung yang terbakar sejak lebih seminggu lalu...

DAKN Bakal Payungi Pembangunan Agrikomoditi Negara

PUTRAJAYA: Sektor Agrikomoditi sudah menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia sejak berdekad lalu,...

Agong Perkenan Tubuh RCI Siasat Isu Tabung Haji – Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Kerajaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah...