Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles
“BIARPUN bertugas tanpa senjata tetapi entah macam mana saya nekad mencabar kumpulan pemberontak bersenjata yang mahu membunuh wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.
“Mungkin naluri kemanusiaan saya tidak membenarkan saya menyaksikan sahaja kekejaman berlaku di depan mata,’’ kata Leftenan Komander Anuar Alias, 40.
Beliau merujuk kepada satu insiden semasa bertugas selama setahun sebagai Pegawai Pemerhati, Misi Pemeriksaan Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB) di Angola (UNIVEM II) pada tahun 1998.
Sepanjang berada di sana, banyak pengalaman yang ditimba termasuk terbabit dalam beberapa insiden yang membahayakan nyawanya.
Satu daripada peristiwa yang tidak dapat dilupakan Anuar ialah tindakan lima lelaki daripada kumpulan pemberontak FAA yang menyerang hendap serta merompak sebuah trak yang berada di depan kenderaannya ketika sedang menyiasat keadaan laluan Huambo-Alto Alma pada awal bulan November 1998.
Waktu itu, beliau bersama seorang pemerhati dari Portugal dan diiringi dua tentera pengaman Namibia sedang meronda jalan berkenaan bagi memastikan ia selamat dilalui oleh orang awam.
Baru 10 kilometer meninggalkan Huambo, tiba-tiba pasukannya dikejutkan dengan bunyi dua das tembakan. Serentak dengan itu, beliau melihat trak yang berada 100 meter di depannya mula bergerak tidak tentu arah dan kemudiannya terbabas di tebing jalan diikuti kemunculan lima orang lelaki dari celah-celah semak sambil melepaskan tembakan secara membabi buta.
Tindakan mereka menyebabkan penumpang trak itu bertempiaran lari ke kawasan belukar manakala beberapa yang lain bersembunyi di belakang kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Anuar.
Dalam keadaan kelam-kabut itu, pemberontak berkenaan kemudiannya menaiki belakang trak dan menembak dua orang wanita yang tidak sempat melarikan diri sambil memukul beberapa orang yang lain. Mereka juga mengambil beberapa guni sekoi dan gandum.
Menyergah Pemberontak
Melihat keadaan cemas tersebut, Anuar yang sebelum itu hanya mendiamkan diri selepas dinasihatkan oleh rakannya mula hilang sabar.
Beliau lantas keluar dari kenderaan dan menjerit `Hei You!’ sekuat hatinya, menyebabkan kelima-lima lelaki itu terkejut dan melarikan diri tanpa sempat membawa guni makanan yang dirompak.
“Ketika menyergah kumpulan pemberontak itu, rasa bimbang tetap ada dalam diri saya kerana mereka bersenjata dan saya tidak.
“Tetapi tindakan kejam mereka menyebabkan semangat saya naik secara tiba-tiba sehinggakan saya berani bertindak,’’ katanya yang ketika itu menjadi Timbalan Komander Pasukan di Bailundo dalam Wilayah Tengah Angola.
Selepas melihat mereka melarikan diri, Anuar memberanikan diri menuju seorang diri ke arah trak untuk meninjau keadaan.
Di situ, beliau mendapati pemandu trak itu telah mati selepas terkena tembakan. Di belakang trak pula, beliau melihat dua wanita mengerang kesakitan di samping mendengar suara kanak-kanak yang sedang menangis.
Pada masa yang sama, beliau turut ternampak kelima-lima pemberontak berkenaan sedang bersembunyi di dalam semak tidak jauh dari trak sedang memerhatikan tindak-tanduknya.
“Waktu itu saya mengambil sikap berhati-hati kerana bimbang mereka akan menyerang saya secara tiba-tiba pula.
“Sebagai langkah keselamatan, saya meminta dua tentera Namibia memberi tembakan perlindungan jika mereka menyerang saya,’’ katanya yang sebelum itu pernah ditugaskan di Somalia pada tahun 1995.
Tiba di hospital, tanpa diduga Datuk Bandar Huambo telah sedia menanti. Beliau mengucapkan terima kasih dan lantas memeluk Anuar walaupun ketika itu bajunya berlumuran darah.
Menurutnya itulah pertama kali tentera PBB menyelamatkan nyawa orang awam yang selalu menjadi sasaran kumpulan pemberontak.
Selepas menyerahkan kedua-dua wanita dan kanak-kanak itu, tiba-tiba Anuar teringat semula suara yang didengarnya di celah-celah guni semasa insiden serangan tersebut.
Beliau lantas mengajak tiga anggota pasukannya untuk kembali semula ke trak tersebut mencari kalau-kalau ada lagi mangsa.
Malangnya, ketiga-tiga mereka enggan turut serta kerana bimbang diserang hendap oleh pemberontak FAA.
Lantaran itu, Anuar nekad untuk pergi seorang diri biarpun tanpa senjata. Tiba di sana, Anuar menyelongkar longgokan guni dan mendapati ada seorang lagi wanita yang cedera ditembak dan membawanya ke hospital.
“Apa yang saya tahu keempat-empat mereka akhirnya selamat walaupun ketika dibawa ke hospital keadaan mereka agak kritikal dan lemah kerana kehilangan banyak darah,’’ kata anak kelahiran Puchong, Selangor ini.
Melanggar Periuk Api
Selain pengalaman tersebut, Anuar turut menempuh beberapa dugaan lain sepanjang berada di Angola dari 21 Januari 1998 hingga 17 Januari 1999.
Enam bulan sebelum itu, iaitu pada 30 April 1998, beliau pernah ditugaskan sebagai ketua kumpulan ronda untuk memeriksa keadaan keselamatan di N’gove.
Memandangkan pekan itu baru sahaja seminggu diserang oleh pemberontak, pasukannya diiringi dua buah kereta perisai jenis APC milik tentera Namibia.
Setiba di persimpangan N’gove, kereta perisai yang berada di belakang telah terlanggar periuk api anti kereta kebal.
Menyedari kejadian itu, Anuar mengambil risiko dengan turun dari kenderaan dan memeriksa keadaan sekeliling.
Ketika menyergah kumpulan pemberontak itu, rasa bimbang tetap ada dalam diri saya kerana mereka bersenjata dan saya tidak. Tetapi tindakan kejam mereka menyebabkan semangat saya naik secara tiba-tiba sehinggakan saya berani bertindak.
Dalam kejadian tersebut, dua tentera Namibia turut cedera. Mereka kemudiannya dihantar ke hospital manakala Anuar dan anggota yang lain meneruskan misi mereka sehingga selesai.
Beberapa hari sebelum beliau menyelamatkan empat mangsa serangan pemberontak FAA, Anuar turut berkesempatan menyaksikan sendiri serangan oleh pihak ANP ke atas Kampung Lomue.
Sebagai ketua kumpulan ronda, beliau telah memberanikan dirinya untuk memerhatikan serangan itu dari jarak 200 meter.
Tindakannya itu, tanpa diduga telah mematahkan tujuan asal penyerang-penyerang dan sekali gus membolehkan orang kampung mengambil perlindungan dari kedudukan beliau memerhati sebelum berundur ke tempat lain.
Pada akhir bulan November pula, pasukannya pernah terperangkap dalam kejadian tembak-menembak di satu kawasan serang hendap tentera Unita berhampiran pekan Atlo Hama. Pada masa itu seramai 50 anggota tentera Unita sedang bertempur dengan 17 anggota ANP dan tiga pemberontak FAA.
“Entah macam mana pemberontak tersebut kemudiannya lari menuju ke arah konvoi kami dan merayu perlindungan.
“Untuk mengelakkan ada nyawa terkorban, kami memuatkan kesemua mereka dalam dua buah kereta perisai dan menurunkan mereka di tempat yang lebih selamat tidak jauh dari situ,’’ ujarnya.
Kesemua peristiwa tersebut telah membuktikan tentang keberanian, dedikasi serta keupayaan Anuar mengawal keadaan krisis tanpa panik.
Malah bapa kepada enam anak ini telah berjaya menyempurnakan segala tugasnya biarpun adakalanya dalam situasi yang amat berbahaya demi keamanan sejagat.
Di atas keberanian luar biasa, kecekalan serta kebolehannya itu maka Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah berkenan menganugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada Ketua Skuadron Tempur Pasukan Khas Laut (Paskal) ini pada 2 Jun 2000.
Penganugerahan itu, memberi makna yang cukup besar kepadanya serta menjadi kebanggaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sendiri memandangkan Anuar adalah pegawai tentera laut tunggal yang menerima PGB sehingga kini.
“Walaupun telah menerima PGB, itu tidak bermakna saya hebat. Saya masih mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan saya dapat memberi sumbangan terbaik kepada TLDM dan negara,’’ katanya merendah diri. – MYNEWSHUB.CC
*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.